Editor buku hina Jata Negara, menetap di Australia


Editor buku Rebirth: Reformasi, Resistance and Hope In New Malaysia yang menghina Jata Negara, Kean Wong, dikesan pulang ke Australia pada hujung Januari lalu.

Wong dilaporkan ke Malaysia bagi menyambut perayaan Tahun Baharu Cina, bersama keluarganya sejak awal tahun sebelum kembali semula ke Australia selepas 24 Januari lalu.

Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid, berkata berdasarkan maklumat dari peguamnya Fahri Azzat, Wong memegang status Permastautin Tetap (PR) di Australia sejak lebih 10 tahun lalu.

"Maklumat awal yang menyatakan Wong melarikan diri ke Australia seperti yang dilaporkan satu agensi berita adalah tidak tepat sebaliknya dia pulang ke Australia sejak hujung Januari lalu.

"Pada masa ini pihak polis menerusi Jabatan Siasatan Jenayah, sedang menunggu maklum balas daripada Wong menerusi peguamnya berhubung siasatan buku berkenaan," katanya ketika dihubungi BH hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan rekod keluar dan masuk negara ini juga mengesahkan bahawa Wong sememangnya sudah keluar dari Malaysia pada Januari lalu.

"Dalam perkara ini tidak timbul isu Wong melarikan diri ke luar negara bagi mengelak siasatan.

"Setakat ini peguamnya bekerjasama dengan pihak kami bagi membantu siasatan kes berkenaan termasuk menjadi perantara antara Wong dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya.

Mior Faridalathrash berkata, setakat ini pihak polis sudah merakam percakapan lapan orang penulis buku berkenaan; pereka grafik dan pelukis muka hadapan; penasihat jualan buku berkenaan serta akan mendapatkan pandangan dua pakar sejarah.

Katanya, setakat ini siasatan kes hina Jata Negara masih dijalankan dan akan dicadangkan kepada pejabat Peguam Negara untuk tindakan pertuduhan.

Penerbitan naskhah berkenaan menimbulkan kontroversi selepas menggunakan imej mirip Jata Negara sebagai sampul buku.

Siasatan kes itu dilakukan mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama 2016, Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 8(1) Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. - BERITA HARIAN
Powered by Blogger.