Yuna sertai 'black out' menentang isu perkauman


Yuna yang kini menempa nama di Amerika Syarikat (AS) menzahirkan sokongan menentang isu perkauman membabitkan orang kulit hitam di AS dengan menyertai gerakan 'black out', hari ini.

Yuna berkata, sokongan itu adalah tanggungjawab yang perlu dilakukan sebagai penghibur yang banyak menerima inspirasi daripada golongan itu.

"Sebagai artis Muslim Malaysia yang membesar dengan mendengar karya muzik daripada artis dan komposer kulit hitam, saya tidak pernah membayangkan bahawa saya kemudian akan membesar dan berpeluang bekerja dengan artis, penerbit, pemuzik dan penari kulit hitam yang berbakat, bahkan mampu berhubung dengan peminat.

"Ini adalah tanggungjawab saya untuk bersama-sama mereka, bukan hanya ketika meraikan kejayaan sahaja, tetapi tetap bersama mereka ketika mereka berada di saat sukar. 

"Tanpa mereka, kita tidak akan dapat menikmati dan terinspirasi dengan seni yang mereka bawakan dengan menghubungkan semua orang di seluruh dunia, bahkan hingga ke Malaysia," katanya menerusi satu hantaran di Instagram, hari ini.

Terdahulu, industri muzik di AS menggesa untuk sama-sama menyertai 'black out' dengan menghentikan seketika segala bentuk aktiviti berkaitan muzik susulan kematian George Floyd selama satu hari. 

Menurut Yuna, langkah itu dibuat sebagai bentuk solidariti kepada rakan seperjuangan berkulit hitam yang selama ini banyak berjasa dalam pembangunan karier muziknya. 

"Saya dan syarikat rakaman akan bersama-sama menyertai industri muzik untuk mengadakan 'black out' hari ini. 

"Ia sebagai tanda solidariti kepada saudara berkulit hitam saya dalam menentang isu perkauman dan menghubungkan semula dengan komuniti di mana satu perbincangan mengenai menentang isu perkauman perlu dilakukan," katanya.

Sementara itu, Yuna menerusi di Instagram seakan menyindir tindakan pemenang Miss Universe Malaysia 2017, Samantha Katie James yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman mengenai rusuhan yang sedang berlaku di AS.

Yuna seperti menggambarkan kenyataan bekas ratu cantik Malaysia itu menambah keperitan yang dunia sedang alami.

"Bila anda tidak mahu belajar sesuatu yang anda tak fahami, anda juga tidak mahu cuba faham dengan apa yang orang lain lalui, dan anda terus menggunakan platform anda untuk berkongsi pandangan yang salah, mempersenda orang lain yang ingin menolong. Anda hanya menambah kepada keperitan yang dunia sedang alami

"Anda sudah gagal walaaupun orang lain berjuang habis-habisan untuk mendapat hak sama rata (walaupun anda mengatakan anda turut perjuangkan)," katanya.

Sebelum ini, Samantha melontarkan komen bahawa mereka yang melakukan rusuhan tidak berjaya mencapai matlamat melalui apa yang disifatkannya sebagai keganasan.

Menurut Samantha, rusuhan dan bantahan masyarakat kulit hitam menandakan golongan kulit putih 'telah menang'.

Dalam kenyataan sama, dia juga berkata masyarakat kulit hitam sepatutnya menerima kelahiran mereka sebagai cabaran. - HARIAN METRO
Powered by Blogger.