'Sudahlah rentas negeri, maki polis pula'
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed, berkata ketika ditahan jam 2 petang, warga asing lelaki berusia 29 tahun itu cuba merentas negeri tanpa kebenaran dengan berjalan.
"Pegawai bertugas SJR kemudian mengeluarkan kompaun kepada suspek dan kemudian suspek tiba-tiba memarahi anggota polis dengan mengeluarkan kata-kata kesat dan bertindak agresif serta menghina dengan berkata 'You are stupid and blind police officer' (anda pegawai polis yang bodoh dan buta) kepada pegawai bertugas di SJR.
"Berikutan itu suspek ditangkap dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson untuk tindakan lanjut dan ini kes ketiga membabitkan warga asing yang dikompaun sepanjang Ops COVID-19 di daerah ini," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Siasatan dijalankan mengikut seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Sementara itu, Aidi Sham berkata, kes kedua membabitkan pemantauan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hari ini apabila sebuah premis kedai emas dalam bandar Port Dickson yang didapati tidak mematuhi PKPB dengan tiada amalan penjarakan sosial oleh pelanggan dalam premis itu.
"Pemerhatian yang dilakukan jam 2.15 petang mendapati ramai pelanggan berada dalam premis tanpa mematuhi SOP yang telah dikeluarkan oleh kerajaan. Pemilik premis di bawa ke Balai Polis Port Dickson dan sudah dikeluarkan kompaun," katanya. - BERITA HARIAN
Post a Comment