COVID-19: Jumlah rakyat Malaysia dijangkiti dari luar negara rendah


Kadar jangkitan kes positif COVID-19 yang rendah di kalangan rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara menyebabkan kerajaan mengambil keputusan untuk membenarkan mereka hanya menjalani kuarantin di kediaman masing-masing bermula esok.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah hanya satu peratus atau 554 kes daripada lebih 50,000 orang yang pulang dari luar negara didapati positif penyakit berkenaan.

“Apabila KKM melaksanakan ujian (saringan COVID-19) yang pertama, KKM kesan 0.8 peratus (positif) dan mereka dikurantin selama 14 hari, selepas itu KKM laksana ujian (kedua) pada hari ke-13 dan mendapati 0.2 peratus (positif).

"Dengan kadar rendah ini, KKM berpendapat ada baiknya mereka menjalani kuarantin di rumah dan kaedah ini juga diterima pakai oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)," katanya sambil menambah KKM akan memantau setiap pesakit dalam pemantauan (PUS) yang menjalani kuarantin di rumah dari semasa ke semasa.

Menjelas lanjut katanya, dengan kemudahan aplikasi MySejahtera, ia juga akan memudahkan urusan KKM bagi memantau PUS kerana mereka akan mendaftar alamat tempat mereka dikuarantin.

Ditanya mengenai sama ada seramai 269 warga Rohingya yang ditahan semalam telah menjalani ujian saringan COVID-19, Dr Noor Hisham berkata KKM sudah melaksanakan ujian kesihatan dan pengesanan COVID-19 terhadap semua pendatang tanpa izin itu.

"Bagi tindakan seterusnya, ia akan diambil dengan pelbagai agensi berkaitan bukan hanya KKM," tambahnya.

Seramai 269 warga Rohingya yang cuba menceroboh perairan Langkawi ditahan kira-kira pukul 5.00 pagi semalam, dengan pihak berkuasa turut menemukan mayat seorang wanita dalam bot yang dinaiki pendatang tanpa izin itu.

-- BERNAMA
Powered by Blogger.