Boleh guna ikut SOP


PANDEMIK Covid-19 yang melanda seluruh dunia menyebabkan semua pihak tampil dengan prosedur operasi standard (SOP) sendiri bagi membolehkan terus beroperasi.

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia juga tidak terkecuali turut mengambil langkah serupa.

Agensi kerajaan ini komited untuk memastikan penggiat seni budaya tidak ketinggalan dan kembali aktif dengan menghasilkan karya seni di semua Kompleks JKKN seluruh negeri kecuali Sarawak, Johor dan Selangor dalam keadaan selamat.

Timbalan Ketua Pengarah JKKN, Rosli Omar berkata, JKKN sudah meluluskan garis panduan sebagai rujukan kepada pentadbir, penggiat seni dan orang awam berkaitan pengurusan dan operasi Kompleks JKKN dalam tempoh pasca Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 7 Jun lalu.

"Ketika PKPP ini adalah tempoh pemulihan dan sedikit kelonggaran diberikan kepada semua penggiat seni budaya di seluruh negara untuk mengguna pakai kemudahan dan fasiliti sedia ada di JKKN negeri bagi memastikan keselamatan kakitangan JKKN, penggiat seni dan orang awam ketika berada atau berurusan di JKKN negeri.

"Perkara ini mesti memberi keutamaan tatacara dan langkah pencegahan dan keselamatan ketika mengunjungi premis dan menggunakan fasiliti awam di kompleks JKKN.

"Antara perkara yang ditekankan adalah mengehadkan kehadiran pengunjung dan pelawat ke kompleks JKKN bagi tujuan urusan rasmi dan tidak rasmi dengan mematuhi kawalan keselamatan dan infeksi serta kawalan pembersihan dan sanitasi yang betul," katanya.

Perkara yang ditekankan dalam Garis Panduan Lawatan Pengunjung ke Premis dan Fasiliti JKKN ketika PKPP adalah seperti penggunaan bilik mesyuarat dan bilik perbincangan sama ada kakitangan JKKN atau pihak awam, tidak boleh melebihi 20 orang dalam satu masa.

Penyertaan dan pembabitan dalam kelas atau latihan muzik dan tarian, penggunaan studio muzik dan tari pula tidak boleh melebihi 20 orang dalam satu masa penggunaan bergantung kepada keluasan ruang.

Manakala, penyertaan atau pembabitan dalam aktiviti kelas, bilik kuliah atau seminar tidak boleh melebihi 50 peratus daripada jumlah sebenar kapasiti orang dalam satu masa.

"Galeri Seni JKKN yang terhad ruangnya tidak boleh menerima pelawat melebihi 10 orang dalam

satu masa. Aktiviti persembahan boleh dilaksanakan dengan pematuhan kepada Garis Panduan bagi Sektor Industri Kreatif yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan memberi tumpuan kepada langkah pencegahan penyakit dan sekatan, pelaksanaan saringan kesihatan, pembersihan dan disinfeksi premis, pengamalan penjarakan sosial serta tatacara keselamatan," katanya.

Menurutnya, arahan ini dikeluarkan untuk memastikan pengurusan bagi penggunaan semua fasiliti serta kemudahan yang disediakan di kompleks JKKN negeri berada dalam keadaan selamat dan teratur.

Rosli berkata, JKKN tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kecelakaan atau kemalangan yang berlaku kepada pengunjung ketika berada di kawasan premis dan fasiliti akibat ketidakpatuhan kepada peraturan dan arahan yang dikeluarkan.

"Garis panduan ini adalah rujukan dan panduan umum untuk kegunaan pengunjung, kakitangan, penggiat seni dan orang awam yang menggunakan premis serta fasiliti JKKN," katanya. - HARIAN METRO
Powered by Blogger.