Bayi perempuan ditemui berbalut kain batik


Seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat ditemui ditinggalkan di hadapan rumah seorang penduduk di Kampung Sakan, Jalan Datuk Kumbar, di sini.

Bayi dipercayai baru dilahirkan itu ditinggalkan di bangku di hadapan rumah terbabit dalam keadaan berbalut kain batik dan masih dipenuhi darah, sebelum ditemui penghuni rumah itu, Nor Hidayah Shafie, 26, pada jam 7 pagi.

"Saya baharu hendak memberi makan ayam, tiba-tiba ternampak ada benda bergerak yang dibalut dalam kain batik di atas bangku dan mulanya, saya sangka anak kucing, rupa-rupanya bayi baru lahir," kata Nor Hidayah.

Katanya, bayi perempuan itu tidak menangis, tetapi badannya masih dipenuhi darah.

"Ketika itu semut mula menghurung bayi itu dan timbul rasa sedih melihat keadaannya dalam kesejukan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Nor Hidayah berkata, pada awal pagi jam 5.30 pagi dia ada terdengar bunyi motosikal, tetapi tidak mengesyaki apa-apa kerana menyangka jiran sebelah yang keluar.

Katanya, dia kemudian menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian penemuan bayi berkenaan.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Mohd Redzuan Salleh, mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan bayi berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya kini sedang mengesan ibu kepada bayi perempuan terbabit dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar di talian 04-7342222.

"Kes kini disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan membabitkan kesalahan menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya," katanya.

Bayi perempuan itu kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Kanak-kanak (NICU), Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk mendapatkan rawatan. - BERITA HARIAN
Powered by Blogger.