Tazkirah dan Ramadan lambuk melalui 'Info on wheel'


Dalam usaha mengimarahkan bulan puasa pada tahun ini, Jabatan Penerangan Negeri Sabah (Japen) melalui 'Info On Wheels' mengadakan program tazkirah dan Ramadan lambuk dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).

Pengarah Japen Sabah, Norzawiyah Bulka berkata tazkirah Ramadan itu disampaikan oleh JHEAINS melalui unit bergerak Japen di seluruh daerah negeri ini di samping mengagihkan juadah berbuka puasa seperti kurma, kuih muih dan bubur lambuk kepada penduduk kampung dan petugas barisan hadapan.

"Melalui program ini juga, hebahan mengenai virus COVID-19, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan inisiatif Prihatin juga disampaikan khususnya kepada masyarakat di pedalaman," katanya kepada Bernama hari ini.

Norzawiyah berkata, meskipun dalam tempoh PKP ini, anggota Japen berdepan dengan suasana yang terbatas dan berisiko namun mereka dapat melaksanakan tugas serta tanggungjawab dengan penuh komited iaitu menyampaikan maklumat melalui unit bergerak Japen.

Sementara itu, Pegawai Japen daerah Nabawan, Asmidar Zainol berkata sempena Ramadan ini, Japen turut menyediakan kelengkapan set pengurusan jenazah untuk diserahkan kepada 11 buah surau dan masjid bagi kemudahan keluarga muslim di daerah itu.

Selain itu, juadah berbuka puasa juga diedarkan di 15 lokasi terpilih di daerah itu sepanjang tempoh Ramadan ini termasuk di klinik kesihatan, balai polis dan petugas pusat kuarantin.

"Ini adalah sebagai tanda kita menghargai jasa mereka yang bertugas dan dapat menggembirakan bagi mereka yang tidak dapat berbuka puasa bersama keluarga masing-masing," katanya.

-- BERNAMA
Powered by Blogger.