Pekerja kilang maut, rakan cedera kereta rempuh pembahagi jalan


Pekerja kilang terbunuh manakala rakannya parah selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas di kawasan selekoh Jalan Mengkuang Dam, di sini, pagi tadi.

Dalam kemalangan jam 6.50 pagi itu mangsa, Abdullah Ahmad, 32 maut di lokasi kejadian manakala Muhammad Fakrulnizam Fazli, 23 mengalami kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad, berkata siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa dalam perjalanan menghala ke Bukit Mertajam sebelum terbabas di satu selekoh dekat situ dan merempuh pembahagi jalan.

"Ketika kejadian, Muhammad Fakrulnizam yang memandu kereta manakala Abdullah berada di bahagian tempat duduk penumpang.

"Semasa melalui salah satu selekoh dipercayai Muhammad Fakrulnizam gagal mengawal kenderaan yang dipandunya lalu menyebabkan kereta itu terbabas dan merempuh pembahagi jalan.

"Akibatnya, kedua-dua mereka tersepit dan Abdullah meninggal dunia di lokasi kemalangan susulan kecederaan parah dialaminya," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Menurutnya, Muhammad Fakrulnizam yang mengalami kecederaan di kepala dibawa ke Hospital Seberang Jaya dekat sini untuk rawatan lanjut manakala mayat Abdullah dibawa ke hospital sama untuk proses bedah siasat

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu,Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, Pegawai Bomba Kanan II, Azmi Zakaria, berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Mertajam bergegas ke lokasi kemalangan sebaik menerima panggilan kecemasan jam 6.57 pagi tadi.

"Ketika tiba didapati terdapat sebuah kereta jenis Proton Wira terbabit kemalangan yang di dalam kenderaan itu mempunyai dua mangsa yang tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dan penumpang

"Kerja menyelamat mengeluarkan kedua-dua mangsa dilakukan menggunakan peralatan 'Rescue Tools',"dan operasi tamat pada jam 7.55 pagi tadi," katanya.

Sumber: Berita Harian
Powered by Blogger.