KKM susun semula strategi hadapi kemungkinan peningkatan kes


Kementerian Kesihatan (KKM) akan menggunakan tempoh pengurangan kes sejak seminggu dua ini untuk menyusun semula strategi baharu dari segi gerak tenaga kerja dan operasi dalam menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan kes selepas ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata tempoh ini juga akan digunakan sebaiknya untuk memberi rehat kepada petugas barisan hadapan KKM yang selama ini telah bekerja keras sejak lima bulan yang lepas.

“Barisan hadapan kesihatan dan petugas KKM bekerja siang malam sejak lima bulan lepas, tidak kenal erti hari minggu atau hari kerja. Hasil pengorbanan ini kes positif COVID-19 semakin berkurang.

“Mereka di Wad ICU (Unit Rawatan Rapi) dan pusat kuarantin juga semakin kurang sejak seminggu dua ini dan ini masa terbaik untuk beri time off kepada warga kerja KKM dan beri kaunseling supaya mereka dapat terus bertahan kalau ada berlaku peningkatan kes.

“Kami bersedia untuk sebarang kemungkinan yang lebih buruk namun mengharapkan yang terbaik,” katanya pada sidang media harian COVID-19 di sini, hari ini.

Noor Hisham berkata, ketahanan warga KKM amat penting kerana mereka adalah pertahanan terakhir untuk mengelakkan berlaku bencana yang lebih besar melibatkan kematian dan pertambahan kes COVID-19 di negara ini.

Pada masa yang sama beliau sekali lagi merakamkan penghargaan ke atas semua petugas kesihatan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi penguatkkuasa lain yang membantu memerangi wabak berkenaan.

Mengenai 50,000 kit ujian antigen (RTK) untuk COVID-19 dari Korea Selatan, Dr Noor Hisham berkata, mereka telah mengagihkannya dan hasil keputusan dari kit itu kemungkinan akan diketahui esok atau hari selepas esok.

RTK adalah untuk melengkapkan tindakbalas rantaian polimerase transkripsi terbalik (RT-PCR) Malaysia bagi saringan yang lebih tepat tetapi memerlukan sampel dihantar ke makmal.

Daripada 50,000 unit itu, masing-masing 10,000 diedarkan ke Sabah dan Sarawak, manakala masing-masing 15,000 ke sempadan di Johor Bharu dan pintu masuk utama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2.

Dr Noor berkata, KKM akan menerima 100,000 lagi kit itu pada akhir minggu ini dan mungkin akan diedarkan ke klinik kesihatan.

Ditanya mengenai perkembangan kedudukan Malaysia dalam percubaan solidariti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi memerangi COVID-19, Dr Noor Hisham berkata, Malaysia telah menerima dos Remdesivir untuk diuji ke atas 100 pesakit.

"Sekarang ini pesakit di Unit Rawatan Rapi (ICU) dah kurang tetapi kita akan guna ubat Remdesivir untuk dijalankan dalam kajian kita. 

"Kita dah mula rekrut pesakit iaitu pesakit pertama dari Hospital Sungai Buloh yang menjadi pesakit pertama di ASEAN dalam percubaan itu. Jadi akan masuk banyak pesakit untuk penyelidikan itu dan laporan akan diberi kepada WHO," katanya. 

-- BERNAMA
Powered by Blogger.