Polis tahan lelaki, disyaki bunuh rakan sekolah


Seorang lelaki diberkas di rumahnya di Kapar, Klang Utara dekat sini, 6 pagi tadi selepas disyaki membunuh rakan persekolahannya di Damansara Damai, awal hari ini.

Dalam kejadian sekitar jam 1 pagi itu, suspek berusia 26 tahun dilaporkan datang ke rumah rakannya di sebuah pangsapuri di Damansara Damai, sebelum mereka bersembang di tangga pangsapuri berkenaan.

Semasa suspek dan mangsa berbual, berlaku salah faham antara mereka hingga menyebabkan berlaku pertengkaran sebelum suspek bertindak mencederakan mangsa pada bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata berdasarkan siasatan awal mendapati wujudnya unsur pertengkaran dipercayai menjadi punca kes bunuh berkenaan.

“Hasil siasatan awal kita menemui serpihan botol kaca di lokasi kejadian dan tidak menolak kemungkinan objek itu digunakan untuk mencederakan mangsa hingga menyebabkan kematian.

“Bagaimanapun siasatan menyeluruh sedang dilakukan bagi mengenalpasti punca kejadian berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, sebentar tadi.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan bunuh, manakala suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini.

“Kita dapat memberkas suspek ini dalam keadaan yang cepat hasil daripada maklumat dan keterangan saksi di lokasi kejadian,” katanya. - BERITA HARIAN
Powered by Blogger.