COVID-19: Bantuan bulanan Baitulmal MAIWP mula disalur


Sebanyak 22,000 asnaf penerima Bantuan Kewangan Bulanan Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan menerima bantuan masing-masing bermula hari ini. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata bantuan yang biasanya disalurkan pada setiap 25 hari bulan itu mula dimasukkan ke akaun bank penerima secara berperingkat. 

Bantuan melibatkan dana sebanyak RM8.94 juta itu adalah bagi meringankan beban asnaf khususnya untuk mendapatkan barangan keperluan asas dalam situasi semasa penularan wabak COVID-19, katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. 

Dalam pada itu, Zulkifli berkata beliau sudah menggerakkan misi #MusaadahCOVID19 sebagai usaha meringankan beban asnaf dan petugas barisan hadapan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Beliau berkata agensi-agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah memulakan misi tersebut di Wilayah-Wilayah Persekutuan dan negeri-negeri lain yang dikenal pasti.

Katanya, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) melalui JAWI Food Bank dengan kerjasama sebuah restoran juga menyumbangkan makanan kepada petugas barisan hadapan COVID-19 di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru badan korporat tampil menyumbang kepada masyarakat yang memerlukan bantuan sebagai satu daripada tanggungjawab sosial korporat sepanjang pelaksanaan perintah tersebut. 

Zulkifli berkata beliau akan memastikan semua sumbangan terhadap misi #MusaadahCOVID19 yang akan dilaksana sehingga minggu depan itu sampai kepada sasaran yang dikehendaki. 

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin, mengisytiharkan Malaysia mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa mulai semalam (18 Mac) hingga 31 Mac di seluruh negara bagi mengekang penularan COVID-19.

-- BERNAMA 
Powered by Blogger.