242 lif rosak di kuarters, bangunan polis diganti
Sebanyak 242 unit lif di kuarters kediaman pegawai dan anggota serta bangunan milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) seluruh negara yang rosak akan diganti tahun ini dengan kos RM122 juta.
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Jamil Rakon, berkata lif berkenaan sedang dan akan diganti tahun ini dan jumlah itu akan ditambah pada masa hadapan bergantung kepada peruntukan daripada Kementerian Kewangan.
“Sebagaimana yang kita janjikan, projek menggantikan 242 unit lif ini akan kita laksanakan tahun ini dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Buat masa ini, ia membabitkan kuarters dan juga bangunan polis yang ditetapkan oleh pihak PDRM sendiri,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan dan Perasmian Projek Penggantian Lif di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador; Ketua Pengarah Kerja Raya, Kamaluddin Abdul Rashid; Timbalan Setiausaha (Pengurusan) KDN, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz dan Pengarah JKR Kuala Lumpur, Maria Marcus.
Pada majlis itu turut berlangsung upacara simbolik penyerahan kunci lif yang sudah siap digantikan membabitkan 12 unit lif di satu blok perumahan pegawai kanan dan lima blok perumahan pegawai rendah PULAPOL Kuala Lumpur serta empat unit lif di dua blok pegawai kanan Perumahan Balai Polis Pantai dengan kos keseluruhan RM7.1 juta.
Katanya, peruntukan sebanyak RM122 juta sudah diluluskan untuk projek menggantikan lif lama yang rosak untuk tempoh dua tahun iaitu 2019 dan 2020.
“Projek penggantian 201 buah lif sudah pun ditenderkan pada Oktober tahun lalu dan ia dijangka siap dalam tempoh sembilan bulan.
“Tambahan projek penggantian 41 buah lif untuk tahun ini akan ditenderkan dalam masa terdekat dan kalau boleh ia dapat disiapkan sebelum akhir tahun ini,” kata beliau.
Sementara itu, Abdul Hamid dalam ucapannya, mengingatkan semua jawatankuasa perumahan serta penghuni dapat berganding bahu menjaga kemudahan yang disediakan serta memantau aktiviti yang tidak bertanggung jawab khususnya vandalisme.
“Penggantian lif ini adalah bukti keprihatinan kerajaan dalam memenuhi keperluan dan memberi kemudahan serta keselesaan warga pasukan yang tinggal di kuarters PDRM.
“Saya mewakili seluruh warga PDRM merakamkan setinggi penghargaan kepada kerajaan dan KDN yang sentiasa berusaha mempertingkatkan mutu perkhidmatan pasukan polis,” katanya. - BERITA HARIAN
Post a Comment