Sekolah dibenar tutup jika wabak makin serius


Pentadbiran sekolah dibenarkan menutup sekolah masing-masing jika wabak Influenza A semakin serius dan menular menjangkiti ramai murid mereka.

Kuasa kepada pengetua dan guru besar untuk mengambil tindakan berkenaan bagaimanapun tertakluk kepada prosedur tertentu yang turut membabitkan pihak berkuasa kesihatan serta jabatan pendidikan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, berkata pentadbiran sekolah mesti mendapat nasihat pegawai kesihatan daerah yang memantau penularan penyakit itu, selain merujuk kepada jabatan pendidikan negeri masing-masing.

“Tempoh penutupan pula atas nasihat pejabat kesihatan daerah, manakala murid yang dijangkiti diberi cuti sakit bergantung kepada tahap keseriusan penyakit. Langkah menutup sekolah atau kelas jika diambil, antara lain adalah juga untuk kerja pembersihan bagi mengawal wabak daripada merebak,” katanya.

Beliau yang memaklumkan demikian kepada BH, turut menjelaskan bahawa tindakan menutup sekolah atau kelas perlu diambil bagi memastikan tiada murid, pelajar, guru mahu pun kakitangan sekolah terjejas dengan wabak berkenaan.

Terdahulu pada sidang media selepas merasmikan majlis penyerahan bantuan persekolahan SWM Environment Sdn Bhd kepada murid dari keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) di Kulai, Nie Ching berkata, belum ada sekolah dinasihatkan ditutup akibat Influenza A setakat ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata, Kementerian Pendidikan bekerjasama erat dengan Kementerian Kesihatan dalam isu penularan wabak itu di sekolah, termasuk mengambil tindakan menutup sementara sekolah atau kelas sekiranya perlu.

“Setakat ini, kita belum menerima nasihat daripada Kementerian Kesihatan untuk menutup mana-mana sekolah walaupun ada murid di Pulau Pinang dan Pahang disahkan dijangkiti virus Influenza A.

“Setakat ini, hanya dua kelas Tahun 2 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Li Hwa (Butterworth), Pulau Pinang) dinasihatkan ditutup oleh Kementerian Kesihatan,” katanya berharap ibu bapa dan pentadbiran sekolah lebih prihatin jika murid sekolah mereka mengalami simptom Influenza A.

“Nasihatkan mereka tidak perlu ke sekolah, tetapi berehat di rumah dan dapatkan rawatan segera,” katanya.

Di Kuala Selangor, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, ketika ditemui media memaklumkan kementeriannya sudah mengarahkan pegawai kesihatan daerah memantau keadaan di sekolah yang muridnya dikesan dijangkiti Influenza.

Kementerian juga, katanya, mengingatkan pihak sekolah supaya sentiasa membuat pemantauan berhubung jangkitan wabak itu sebagai langkah memastikan kesihatan murid sentiasa terjamin.

“Kita turut mengingatkan supaya pihak sekolah mengambil langkah sepatutnya supaya penularan wabak terbabit dapat dibendung,” katanya selepas menyampaikan sumbangan barang keperluan asas kepada 170 warga emas sempena sambutan Tahun Baharu Cina, semalam.

Mengesahkan jangkitan Influenza A yang dikesan di beberapa sekolah, termasuk di Selangor masih terkawal dan tiada arahan penutupan sekolah setakat ini, Dr Dzulkefly menasihatkan masyarakat agar tidak khuatir kerana bekalan ubat-ubatan untuk merawat, termasuk di klinik swasta mencukupi.

BERITA HARIAN
Powered by Blogger.