Pendaftaran M40 dapat subsidi petrol mula Mac


Pendaftaran penerima Program Subsidi Petrol (PSP) bagi golongan berpendapatan 40 peratus pertengahan (M40) akan dibuka pada Mac atau April depan.

Ini susulan inisiatif kerajaan Pakatan Harapan untuk menyalurkan subsidi petrol kepada kumpulan itu seperti pengumuman Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam Belanjawan 2020 pada Oktober lalu

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata beliau dimaklumkan mengenai perkara itu dalam pertemuan dengan Guan Eng minggu lalu.

Beliau berkata, data membabitkan keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) sudah lengkap untuk proses pemberian subsidi.

“Kementerian Kewangan memaklumkan proses pendaftaran kategori penerima M40 akan hanya dibuka pada akhir suku pertama tahun ini. Barangkali pada awal suku kedua.

“Penerima B40 telah pun lengkap datanya, manakala M40 oleh kerana Menteri Kewangan baru umumkan dalam bajet pada Oktober. Dalam bajet itu, beliau kata pelaksanaan untuk M40 pada tahun ini.

“Jadi, ada kewajaran untuk pelaksanaan itu nanti disekalikan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas perasmian Kejohanan Bola Sepak Piala Khalid Samad di Stadium Rhino KV Arena, di sini, hari ini.

Beliau berkata, antara isu yang cuba diselaraskan ialah penerima B40 mendapat subsidi melalui pembayaran tunai, manakala M40 menggunakan kad.

“Jadi dengan penangguhan ini, ia memberi peluang kepada kedua-dua kementerian untuk mencapai satu keputusan yang apabila dilaksanakan nanti ia haruslah ‘seamless’ (lancar). Ia tidak ada kecoh. Apabila rakyat ke pam minyak, dia tidak rasa apa-apa perubahan. Itu yang terbaik,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai klip video yang tular membabitkan sekumpulan waga asing dipercayai Bangladesh yang membeli minyak petrol dengan menggunakan tong bersaiz antara lima hingga 10 liter, dan menaiki bas di Sabak Bernam baru-baru, ini, Saifuddin berkata, pegawai penguatkuasaan kementeriannya sudah ke stesen berkenaan dan menemui pemiliknya.

Katanya, laporan kes itu dijangka siap esok.

“Saya percaya esok Isnin, saya akan dapat laporan penuh mengenai insiden itu yang tular. Akan kami teliti apakah itu satu perkara yang lazim atau lumrah? Atau berlaku ketika video itu dirakamkan atau macam mana” katanya.

- BERITA HARIAN
Powered by Blogger.