RM66 juta e-Tunai Rakyat disalur kepada 2.2 juta pemohon


Kerajaan sudah menyalurkan RM66 juta kepada 2.2 juta pemohon e-Tunai Rakyat setakat jam 9 malam tadi, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, bagi tempoh itu juga, kerajaan menerima 2.9 juta permohonan untuk menyertai insentif yang mula dilancarkan sejak Rabu lalu.

“Sehingga jam 9 malam tadi, sudah ada 2.9 juta permohonan untuk menyertai inisiatif ini dengan 2.2 juta sudah diluluskan dan sejumlah RM66 juta disalurkan kepada rakyat,” katanya pada majlis pelancaran Ekosistem Nirtunai untuk Cyberjaya dengan QR Kebangsaan Malaysia di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Cyberview Sdn Bhd yang juga Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir; Pengarah Urusan Cyberview, Mohd Najib Ibrahim; Pengerusi Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), Datuk Ahmad Hizzad Baharuddi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Peter Schiesser.

Guan Eng berkata, kerajaan komited meningkatkan kadar pembayaran nirtunai di Malaysia kerana ia dilihat antara kaedah terbaik untuk mencegah kegiatan rasuah.

Beliau berkata, penggunaan e-pembayaran juga adalah cara penting dan selamat untuk memastikan hanya pihak yang betul menerima subsidi bersasar daripada kerajaan tanpa sebarang komisyen atau bayaran dikenakan.

Katanya, manfaat penting lain dalam penggunaan nirtunai ialah ia mampu meningkatkan kutipan cukai, sekali gus berupaya menambah baik infrastruktur awam untuk kemudahan rakyat.

“Apabila Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan, kami komited memulihkan semula kepercayaan terhadap kerajaan dengan melaksanakan pembaharuan institusi bagi tadbir urus yang kompeten, bertanggungjawab dan telus.

“Dalam pelaksanaan pembaharuan itu, perlalihan ke nirtunai adalah keutamaan kerajaan sebagai satu kaedah untuk mencegah rasuah. Semua transaksi direkodkan, sekali gus tiada ruang untuk penerimaan atau penawaran rasuah dilakukan,” katanya.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, biarpun banyak usaha dan inisiatif dilakukan sejak dua dekad lalu, namun hanya lima peratus bayaran dilakukan di Malaysia adalah nirtunai.

Katanya, penggunaan tunai masih menjadi pilihan rakyat Malaysia untuk pembelian barangan harian seperti bayaran parkir, majalah, surat khabar dan transit seperti teksi.

“Disebabkan itu, sekurang-kurangnya dua aspek perlu diteliti bagi meningkatkan penggunaan nirtunai iaitu antaranya kemudahan e-bayaran perlu mudah, selamat dan boleh didapati secara meluas untuk digunakan. Maksudnya ia mesti mudah untuk digunakan seperti tunai.

“Sebab itu, dengan mempunyai pusat penyedia infrastruktur bayaran seperti PayNet akan membolehkan proses pengadaptasian dipertingkatkan.

“Sehubungan itu, bagi merangsang lagi perkembangan ekonomi nirtunai dalam negara, kerajaan melancarkan insentif e-Tunai Rakyat bernilai RM450 juta seperti dibentangkan pada Belanjawan 2020,” katanya.

Sementara itu, Mohd Najib berkata, menerusi inisiatif dilancarkan itu, Cyberjaya akan menjadi bandar pertama di Malaysia mengadaptasi kod QR kebangsaan di bawah Rangka Kerja Pindahan Kredit Saling Boleh Kendali (ICTF) Bank Negara Malaysia (BNM).

“Cyberview akan menerajui inisiatif ini dengan rakan kami, PayNet, untuk menggalakkan lebih banyak perniagaan beralih menggunakan penyelesaian nirtunai dan memudahkan transaksi bayaran untuk komuniti di Cyberjaya,” katanya.

Ditanya langkah kerajaan mengatasi masalah ekonomi bayangan, Guan Eng secara ringkas menjawab yang kerajaan akan melaksanakan semua langkah penguatkuasaan diperlukan untuk menangani masalah berkenaan.

Saiz ekonomi bayangan di Malaysia adalah sekitar 21 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara iaitu kira-kira RM300 bilion.

- BERITA HARIAN
Powered by Blogger.