Cadangan perkenalkan skim perlindungan kepada pekerja Malaysia di Singapura


Kementerian Sumber Manusia bercadang memperkenalkan skim perlindungan keselamatan sosial kepada kira-kira 300,000 rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura.

Menterinya, M Kulasegaran, berkata ketika ini, pihaknya menunggu dapatan hasil Kajian Melindungi Pekerja Malaysia yang Bekerja di Singapura yang sedang dilaksanakan kementerian.

Beliau berkata, hasil kajian itu akan diumumkan apabila ia siap pada April atau Mei depan.

“Kajian itu bertujuan mendapatkan pro dan kontra, kebaikan serta risiko yang dihadapi mereka.

“Selepas itu, kita akan tengok apa yang boleh dilakukan, termasuk dalam memperkenalkan skim perlindungan keselamatan sosial bersesuaian untuk mereka,” katanya pada sidang media selepas majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Peringkat Kebangsaan, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Amir Omar, dan Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Terdahulu, Kulasegaran turut menyampaikan sumbangan wang raya dan hamper kepada 14 anak yatim serta 13 ibu tunggal, selain Faedah Hilang Upaya Kekal kepada sembilan penerima.

Dalam pada itu, beliau berkata, ada kira-kira sejuta rakyat Malaysia bekerja di seluruh dunia, terutama di Singapura dan Arab Saudi.

“Kementerian turut melakukan kajian berhubung sebab rakyat Malaysia bekerja di Singapura. Hasilnya mendapati gaji lumayan ialah faktor utama rakyat Malaysia berminat untuk bekerja di republik itu.

“Faktor lain termasuk sistem pendidikan di republik itu yang membolehkan rakyat Malaysia meraih pendapatan lumayan, selain dapat membawa pulang wang gaji lebih banyak untuk kegunaan keluarga,” katanya.

Sementara itu, Kulasegaran berkata, bilangan orang bekerja sendiri (OBS) termasuk dalam sektor pengangkutan penumpang, yang mendaftar dan mencarum dengan PERKESO ialah seramai 45,923 orang, setakat semalam.

Beliau berkata, jumlah itu dicatatkan selepas 18 hari Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri diperluaskan kepada 19 sektor baharu, berkuat kuasa awal bulan ini.

“Hanya OBS sektor perhutanan masih belum tampil mendaftar dan mencarum dengan PERKESO,” katanya.

- BERITA HARIAN
Powered by Blogger.