Malaysia lonjak ke kedudukan 51 dalam indeks persepsi rasuah


Malaysia melonjak ke kedudukan 51 daripada 180 negara bagi Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) untuk tahun 2019.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) Dr Muhammad Mohan berkata skor Malaysia juga meningkat sebanyak 53 daripada 100 mata dalam tinjauan CPI, peningkatan daripada 47 mata yang diperoleh pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata peningkatan kedudukan global itu adalah disebabkan tindakan segera yang diambil kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menangani skandal dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International, Felda dan Tabung Haji selepas mengambil alih pentadbiran.

Muhammad berkata demikian dalam sidang media ketika mengumumkan CPI Malaysia untuk tahun 2019 di sini. CPI itu dikeluarkan oleh Transparency International, sebuah gabungan global menentang rasuah, hari ini.

Skor dan kedudukan CPI itu adalah berdasarkan 13 tinjauan dan penilaian pakar yang mengukur tahap persepsi rasuah dalam sektor awam negara pada skala daripada sifar (dianggap paling rasuah) ke 100 (paling bersih).

Dalam kalangan 10 negara ASEAN, Malaysia berada pada kedudukan ketiga selepas Singapura dan Brunei Darussalam.

Muhammad berkata secara global, Singapura di kedudukan keempat dan Brunei Darussalam ke-35. Indonesia pula kedudukan ke-85, Vietnam ke-96, Thailand ke-101, Filipina ke-113, Laos dan Myanmar ke-130 dan Kemboja ke-162.

Beliau berkata peningkatan Malaysia dalam kedudukan itu berikutan penahanan dan pendakwaan beberapa tokoh politik kerana dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram, kebebasan media dan pengisytiharan aset oleh ahli Parlimen parti pemerintah.

TI-M menyeru kerajaan untuk mempercepat pembaharuan institusi seperti menjadikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) lebih bebas, menggesa kelulusan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC), enakmen undang-undang pembiayaan politik untuk menghentikan politik wang, dan kerap terlibat dengan masyarakat umum untuk mengemas kini perkembangan pembaharuan itu.

TI-M juga mencadangkan supaya kes rasuah berprofil tinggi ditutup awal seperti SRC, Sabah ‘Watergate’ dan 1MDB untuk memastikan kejayaan pelaksanaan Pelan Pencegahan Rasuah Negara (NACP) dan mendedahkan perkembangan pelan itu yang mempunyai 115 inisiatif.

Denmark dan New Zealand berada di kedudukan teratas dengan masing-masing 87 mata manakala Findland pada kedudukan ketiga dengan 86 mata. Singapura, Sweden dan Switzerland berkongsi kedudukan keempat dengan masing-masing 85 mata.

Negara pada kedudukan tercorot adalah Syria (178), Selatan Sudan (179) dan Somalia (180) dengan masing-masing 13, 12 dan sembilan mata.

-- BERNAMA

Powered by Blogger.