Kriteria kelayakan i-Suri fasa pertama tahun 2020 diperhalusi


Kerajaan telah memperhalusi kriteria kelayakan program Caruman Sukarela Insentif Suri atau i-Suri fasa pertama bagi tahun 2020, demikian menurut Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) hari ini.

Kriteria kelayakan itu ialah isteri kepada ketua isi rumah (KIR); KIR wanita dalam kalangan ibu tunggal, balu atau wanita belum berkahwin; berumur 18 hingga 59 tahun pada tahun 2019 dan warganegara Malaysia sahaja.

Turut layak antaranya ialah mereka yang berdaftar dan telah disahkan status dalam sistem eKasih kendalian Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) sehingga 30 Nov 2019; berstatus miskin tegar/miskin dalam eKasih.

Bagi pelaksanaan fasa pertama pada 2019, kumpulan sasar yang mendapat manfaat di bawah skim itu ialah suri rumah kepada KIR; KIR dalam kalangan ibu tunggal, balu dan wanita belum berkahwin (bujang) yang berdaftar dalam sistem eKasih kendalian ICU JPM sehingga 30 Nov 2018.

"Program i-Suri ini sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa berdasarkan input dan maklumat yang diterima daripada semua pihak,” menurut KPWKM dalam satu kenyataan.

Bagi pelaksanaan pada 2020, KWPKM menyatakan bahawa kaedah caruman ke dalam akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dipermudahkan iaitu mulai Januari 2020, caruman juga boleh dibuat secara tunai/kad debit Bank Simpanan Nasional (BSN) melalui mana-mana ejen BSN di seluruh negara.

Kerajaan juga, menurutnya memanjangkan manfaat i-Suri melalui perlindungan keselamatan sosial di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan peruntukan sebanyak RM20 juta disediakan kepada Perkeso bagi tujuan itu.

"Kerajaan berharap kumpulan sasar yang berkelayakan akan mengambil peluang ini untuk meningkatkan kesejahteraan kehidupan mereka untuk hari tua,” menurut KPWKM.

Usaha membuat tabungan dan simpanan KWSP untuk suri rumah melalui skim insentif itu adalah sebagai satu daripada langkah kerajaan untuk mewujudkan jaringan keselamatan sosial.

Menurut KPWKM, jumlah ahli yang berdaftar sejak pelaksanaan program itu pada 15 Ogos 2018 sehingga 15 Dis lepas (2019) adalah seramai 140,398 orang, 20,010 orang atau 85.48 peratus daripadanya telah mencarum di bawah program itu.

Kumpulan sasar yang memenuhi kriteria kelayakan akan diberikan insentif bagi setiap caruman sukarela berjumlah minimum RM5 sebulan ke akaun KWSP, kerajaan pula akan memberikan insentif sebanyak RM40 sebulan.

Menurut KPWKM, ahli yang telah mencarum berjaya menerima manfaat insentif kerajaan melibatkan peruntukan sebanyak RM7.93 juta dan tempoh bayaran insentif itu adalah bagi Januari hingga Jun 2019.

Program i-Suri dilancarkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada 8 Ogos 2018 semasa Persidangan Keselamatan Sosial Antarabangsa 2018 anjuran KWSP.

-- BERNAMA
Powered by Blogger.