Kerajaan bakal perkenal sistem pengurusan ladang untuk tingkat hasil pertanian - Dr Mahathir


Kerajaan akan memperkenalkan pengurusan pertanian yang cekap menerusi sistem 'pengurus ladang' atau 'farm managers', bagi menjana pendapatan yang lebih baik buat golongan petani, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata menerusi sistem itu, petani mampu meraih pendapatan yang baik, walaupun kebun atau ladang berkeluasan kecil dan tidak hanya bergantung pada tanaman getah dan sawit semata-mata.

Jelas Dr Mahathir, kaedah itu adalah sistem yang sama, seperti diguna pakai di ladang-ladang estet yang dipanggil 'estate managers'.

"Kita akan perkenalkan cara pengurusan pertanian seperti di estet, tetapi ia dipanggil sebagai 'farm managers',” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata menerusi cara itu, tanah-tanah kecil yang ada diusahakan sebagai satu ladang, yang memberi pulangan lebih baik yang tidak sama seperti tanaman getah dan sawit.

"Bila kita hanya harapkan getah dan sawit, apabila harga (getah dan sawit) jatuh kita akan terkesan," katanya.

Dr Mahathir berkata kerajaan juga sedang mengkaji dan akan melaksanakan kaedah baharu pertanian, dengan penggunaan teknologi moden bagi membantu petani.

"Sekarang ini, bercucuk tanam bukan sahaja dibuat atas tanah yang luas, tapi dalam bekas kecil, guna tanah yang sikit dan ditanam secara bertingkat boleh tanam macam-macam tanaman...dapat jana hasil yang lebih baik.

"Dengan teknologi moden, tanah dengan keluasan yang kecil, atau tanah yang kurang subur pun.. kita boleh menjana pendapatan yang lebih, " katanya.

Dr Mahathir berkata pelbagai inisiatif pertanian moden akan dibangunkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, namun memerlukan kerjasama rakyat untuk menjayakannya.

-- BERNAMA
Powered by Blogger.