RC Scale 4WD hobi terbaharu masa kini
Gagah mendaki bukit dan meredah laluan berbonggol atau berlubang, ada ketikanya dilihat seperti mahu terbalik namun kenderaan ini terus dikawal dengan baik. Ia juga mampu meredah lokasi berair dan lumpur.
RC Crawler ialah kenderaan pacuan empat roda (4X4) kawalan jauh berskala 1:10 dari kenderaan saiz sebenar, ia menawarkan keseronokan mengendalikan kenderaan pacuan empat roda meski pun menggunakan alat kawalan jauh.
Kenderaan ini dikawal secara frekuensi radio dan ia menggunakan motor elektrik sepenuhnya dengan pilihan rangka "rig" mengikut model pacuan empat roda sebenar seperti Land Rover, Range Rover, Toyota Land Cruiser, Unimog Mercedes, Mitsubishi Pajero dan Jeep Wrangler.
Permainan kenderaan ini dianggap sebagai sukan baharu atas faktor ia mematuhi peraturan permarkahan berkaitan kereta Scale Off Road RC Association (SORRCA) yang diguna pakai satu dunia RC.
Baru-baru ini berlangsung Scale Crawler Asian Championship 2019 di Taman Botani Shah Alam, Selangor yang disertai lebih 20 peserta termasuk dari Malaysia, Taiwan, Indonesia dan Hong Kong.
Kejohanan dua hari ini menawarkan peluang kepada para peserta mengendalikan kenderaan RC Crawler masing-masing dalam suasana persekitaran hutan Malaysia.
Kategori yang dipertandingkan ialah Kelas Zero, Kelas Satu, Kelas dua dan kelas 2.5 dimana sebuah RC yang baru keluar dari kotak bungkusan bertanding dalam kelas Zero manakala yang telah dimodifikasi sepenuhnya bertanding dalam kategori kelas 2.5.
Kejohanan ini dikendalikan sepenuhnya oleh sekumpulan penggiat hobi permainan berkenaan diketuai Presiden Siput Park Trophy, Mohammad Shahrin Mandalam.
Menurut Mohammad Shahrin, kenderaan ini akan melalui laluan berbatu, air dan pelbagai permukaan yang berbeza dan permakahan akan diberi berdasakan spesifikasi rig, kemahiran pengendalian dan penyelamatan rig tanpa menyentuhnya.
Beliau berkata selaras dengan perkembangan teknologi terkini, banyak peralatan dicipta dan memasuki pasaran tempatan sekaligus meningkatkan minat pemilik untuk menghias dan menambah baik RC Crawler masing-masing.
Beberapa pertandingan anjuran Siput Park Tropy telah mendapat tajaan secara terus dari pengeluar peralatan RC dari luar negara seperti Hong Kong.
Kejohanan ini semakin diminati termasuk golongan profesional untuk berekreasi dan bersosial pada hujung minggu.
Siput Park Trophy boleh dihubungi melalui Facebook dan Instagram.
-- BERNAMA
Post a Comment