Polis cari waris mayat terapung tanpa kepala


Polis sedang mengesan ahli keluarga mayat seorang lelaki yang ditemui tidak sempurna dan hampir reput di perairan Teluk Kampi dekat sini pada Khamis lalu.

Mayat tanpa identiti itu dijumpai nelayan kira-kira pukul 5 petang dalam keadaan hanya memakai seluar pendek dan boxer berwarna gelap.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A.A. Anbalagan berkata, mayat berkenaan ditemui dalam keadaan tanpa kepala dan tangan selain kakinya hanya pada paras lutut.

"Mayat juga ditemui tanpa organ dalaman dan ia dianggarkan berada di dalam air lebih daripada seminggu.

"Tiada unsur jenayah dikenal pasti dalam kejadian itu," katanya kepada pemberita hari ini.

Dalam pada itu, Anbalagan berkata, pihaknya sedang mengesan ahli keluarga mangsa yang dipercayai berkulit cerah itu untuk tampil membantu siasatan.

"Pihak polis tidak menjumpai sebarang dokumen pengenalan diri pada mayat selain tiada sebarang laporan berkaitan kehilangan ahli keluarga yang dilaporkan di dalam daerah ini," katanya lagi.

Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai maklumat lanjut diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya atau menghubungi Ketua Polis Balai Komuniti Sungai Pinang, Sarjan Abdul Aziz Ishak di talian telefon 012-4993220 atau Balai Polis Komuniti Sungai Pinang (04-8660222 atau 04-8668235). - K! ONLINE
Powered by Blogger.