Nelayan naikkan tapah gergasi 35 kg


Seorang nelayan terkejut apabila jaring yang disangka tersangkut kayu kerana terlalu berat sebenarnya memerangkap ikan tapah ‘gergasi’ seberat 35 kilogram (kg) di Sungai Pahang.

Nelayan dari Kampung Pedah, di sini, Farouk Omar, 40, berkata dia bersama adiknya mengambil masa kira-kira 10 minit untuk menaikkan ikan sepanjang hampir 1.5 meter yang terlalu agresif itu.

“Pada mulanya saya sangka ada kayu tersangkut pada jaring yang saya tahan kerana semalam hujan lebat dan banyak kayu hanyut dari hulu sungai.

“Namun apabila saya tarik, ‘kayu’ kelihatan bergerak-gerak dan saya mula mengagak ia ‘benda’ hidup... mungkin biawak atau ikan besar

“Apabila kemudian saya menarik jaring, saya melihat kepala ikan ‘bermisai’ muncul dari dalam air dan terkejut melihat saiz ikan itu yang besar,” katanya di sini, hari ini.

Farouk berkata, ini adalah kali pertama dia menaikkan ikan tapah gergasi seberat kira-kira 35 kg, berbanding kebiasaannya mendapat pelbagai spesies ikan dengan berat antara satu hingga tiga kg sejak menjadi nelayan sungai secara sambilan selama 10 tahun.

Beliau berkata, ikan itu dijual pada harga RM60 sekilogram kepada penggemar ikan sungai.

“Wang hasil jualan ikan itu akan disimpan untuk dijadikan modal bagi membina sangkar untuk menternak ikan air tawar,” katanya. - BERITA HARIAN
Powered by Blogger.