Penggangur menyamar doktor pelatih Hospital Kemaman ditahan


Perbuatan seorang penganggur menyamar sebagai doktor pelatih di Hospital Kemaman di sini terbongkar selepas dia ditahan pengurusan pusat perubatan itu semalam.

Helah lelaki berusia 27 tahun itu terbongkar selepas dia gagal menjawab soalan asas perubatan sewaktu menjalankan latihan perubatan pada pukul 10 pagi.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramli berkata, siasatan awal mendapati suspek yang berasal dari Kampung Olong, Binjai di sini cuma berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Dia diterima masuk untuk mengikuti latihan perubatan di Hospital Kemaman selepas mengaku sebagai pelatih perubatan dari Universiti Malaya, Kuala Lumpur dengan memalsukan dokumen yang dipercayai dimuat turun daripada laman web institusi pengajian awam tersebut.

"Suspek telah dua kali melakukan penyamaran tersebut iaitu selama dua minggu pada bulan Februari lalu dan hari ini (semalam) sebelum penipuannya dapat dikesan," katanya kepada Kosmo! Online di sini hari ini.

Hanyan berkata, sepanjang tempoh penyamaran tersebut, lelaki tersebut telah dibenarkan untuk mengikut pegawai perubatan hospital itu melakukan pemeriksaan kesihatan terhadap pesakit.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati suspek pernah mengikut pengajian dalam bidang Fisioterapi di sebuah kolej swasta, Kota Bahru, Kelantan pada tahun 2010 tetapi terkandas sebulan kemudian kerana menghadapi masalah pinjaman pendidikan.

"Dia telah ditahan reman selama empat hari sehingga Jumaat ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan," katanya. - K! ONLINE
Powered by Blogger.