3 negara setuju terima kembali 89 kontena sampah


Tiga negara bersetuju untuk menerima kembali 89 kontena mengandungi sisa plastik dan sampah yang masih tersadai di beberapa pelabuhan negara sejak awal tahun ini tanpa sebarang kos membabitkan kerajaan Malaysia.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin, berkata pihaknya menjangkakan proses dokumentasi membabitkan tiga negara ini selesai dalam tempoh enam minggu manakala baki kontena yang masih belum dikenal pasti dijangka diselesaikan akhir tahun ini.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan tiga negara itu pada masa ini sehingga semua prosedur selesai.

“Kami sudah tahu di mana negara asal dan kami menghubungi duta negara berkenaan dan tiga negara ini secara lisan setuju untuk dapatkan balik (kontena) tanpa kos daripada kita.

“Sebanyak 89 kontena dijangka akan dibawa keluar, kita jangka enam minggu akan selesai dan selebihnya kita jangka selesai akhir tahun. Susah dan kompleks macam mana pun (prosedur), kita tetap akan hantar balik,” katanya pada sidang media selepas melancarkan MCIS Insurans di sini, hari ini.

Bee Yin berkata, selain Pelabuhan Klang, pihaknya mendapati terdapat juga kontena mengandungi sisa plastik dan sampah di pelabuhan Pulau Pinang dan Sarawak.

“Kami dapati ada pihak industri berkenaan nak gesa kerajaan supaya kami jual dan dia dapat murah atau percuma daripada kerajaan, tetapi saya tegaskan jangan harap kerana sesukar mana pun, kami akan pulangkan semula.

“Kerajaan bertegas kerana mahu hentikan pusingan ini. Kalau kami benarkan, lain kali akan terjadi lagi dan mereka akan terus masuk secara haram,” katanya.

Katanya, kerajaan akan mengambil pendekatan proaktif dengan bersikap tegas kepada mana-mana individu yang didapati tidak mematuhi syarat yang ditetapkan.

“Dalam usaha membendung perkara ini daripada terus berulang, kerajaan akan menyekat kemasukan kontena berkenaan di pelabuhan negara dan memastikan pihak terbabit membayar kos penghantaran pulang bahan buangan berkenaan terlebih dahulu,” katanya.

Baru-baru ini, media melaporkan terdapat sejumlah kontena mengandungi barangan buangan dan sisa sampah tersadai di beberapa pelabuhan di Malaysia kerana negara sumber atau pengimport bahan berkenaan tidak dapat dikesan. - BERITA HARIAN
Powered by Blogger.