Mira Filzah Bintang Paling Popular ABPBH 32


Dikurniakan pakej lengkap, selain memiliki personaliti menyenangkan dan dibantu populariti drama Pujaan Hati Kanda serta Lelaki Kiriman Tuhan, tuah menyebelahi pelakon jelita, Mira Filzah apabila dijulang peminat sebagai Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32, malam ini.

Meraih undian tertinggi menerusi kategori Pelakon TV Wanita Popular Alha Alfa dengan 6,320,463 undi, Mira, 26, menafikan kemaraan pencabar terdekatnya, Khai Bahar yang dilihat berpotensi besar mengungguli trofi tu.

Yang turut memberikan saingan bagi gelaran tertinggi pada acara kemuncak yang disiarkan secara langsung menerusi TV3 dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu ialah Janna Nick, DJ Lin dan Fattah Amin.

Kemenangan itu melayakkan Mira membawa pulang hadiah utama, kereta Nissan X-Trail 2.0L Hybrid bernilai RM160,000, sumbangan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) berserta trofi.

Hadiah disampaikan pemenang Bintang Paling Popular ABPBH 1990, Aishah.

Terdahulu, Mira atau nama lengkapnya Nur Amirah Filzah Badioezaman mengungguli kategori Pelakon TV Wanita Popular Alha Alfa, menghampakan Siti Nordiana dan Janna Nick yang turut memberikan saingan sengit membuktikan pengaruh mereka pada mata peminat.

Mira juga cemerlang apabila membawa pulang trofi Pelakon Filem Wanita Popular, menafikan kemaraan bintang senior, Erra Fazira dan Delimawati, selain Uqasha Senrose serta Hannah Delisha.

Keampuhan gandingannya bersama Remy Ishak turut membawa tuah kepada anak kelahiran Ipoh, Perak itu apabila diumumkan sebagai pemenang kategori online, Gandingan Serasi Drama Popular menerusi Pujaan Hati Kanda.
Powered by Blogger.