Dua ATM diletup, perompak gagal larikan wang


Dua buah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank di Jalan Dedap 21, dekat Johor Jaya di sini, rosak teruk selepas dipercayai cuba diletupkan penjenayah dalam kejadian awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Suprintendan Ismail Dollah berkata, polis menerima maklumat berhubung kejadian terbabit pada pukul 7.17 pagi sebelum anggota polis bergegas ke lokasi kejadian.

“Polis yang tiba di lokasi kejadian mendapati dua buah ATM di bank terbabit telah mengalami kerosakan di tempat pengeluaran wang dan cermin penghadang berhampiran telah pecah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ismail berkata, siasatan awal mendapati ATM terbabit cuba diletupkan menggunakan bahan letupan yang masih belum dikenal pasti.

“Penjenayah bagaimanapun gagal melarikan wang di ATM itu,” katanya.

Kes disiasat mengikut  Seksyen 436 Kanun Keseksaan. - K! ONLINE
Powered by Blogger.