Larian Standard Chartered 2019 : 28 jalan ditutup, dilencong Sabtu dan Ahad ini


Sebanyak 28 jalan di ibu negara akan ditutup atau dilencongkan sempena larian Maraton Standard Chartered 2019 bermula dan berakhir di Dataran Merdeka pada Sabtu dan Ahad ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata penutupan jalan secara berperingkat akan bermula 2.45 pagi hingga 11.30 pagi pada kedua-dua hari berkenaan.

Antara jalan yang terlibat adalah Jalan Raja (Dataran Merdeka), Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Sultan Ismail, Jalan Ampang, Jalan P. Ramlee, Jalan Raja Chulan, Jalan Bukit Bintang, Jalan Tun Abdul Razak, Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur dan Lebuhraya Duta-Ulu Klang.

Selain itu, Jalan Kuching (dari Selayang), Jalan Tuanku Abdul Halim (Duta), Jalan Raja Muda Abdul Aziz (Hospital Kuala Lumpur), Jalan Raja Abdullah (Kampung Baru), Jalan Langgak Tunku, Jalan Dang Wangi, Jalan Tunku, Jalan Tun Ismail, Jalan Dato Onn, Jalan Sultan Salahuddin, Jalan Parlimen, Jalan Damansara, Lebuhraya Sultan Iskandar, Jalan Kinabalu, Bulatan Sultan Hishamudin, Jalan Cendrawasih, Jalan Kampung Pandan dan Jalan Pahang.

"Seramai 445 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan mengawal lalu lintas sepanjang program itu berlangsung," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Mazlan berkata kira-kira 40,000 peserta dijangka menyertai acara larian peringkat antarabangsa anjuran Persatuan Atlet Amatur Wilayah Persekutuan, yang diadakan sejak 1989.

“Pengguna jalan raya dinasihatkan untuk menggunakan pengangkutan awam untuk ke pusat bandar,” tambahnya.

-- BERNAMA
Powered by Blogger.