Kementerian Pendidikan tubuh jawatankuasa tingkat pendidikan Orang Asli


Kementerian Pendidikan menubuhkan jawatankuasa khas bagi meneliti sembilan aspek untuk meningkatkan akses membabitkan kepentingan pendidikan masyarakat Orang Asli di negara ini.

Menterinya, Dr Maszlee Malik, berkata pemilihan anggota jawatankuasa khas itu berada di peringkat akhir dan akan membabitkan pelbagai agensi seperti Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan universiti tempatan.

Beliau berkata, kementerian juga memperuntukkan geran RM1 juta kepada Institut Pendidikan Guru (IPG) untuk tujuan penyelidikan berkaitan pendidikan Orang Asli sebagai sokongan kepada jawatankuasa khas berkenaan.

Katanya, jawatankuasa khas itu berperanan meneliti aspek berkaitan pendidikan Orang Asli, termasuk meningkatkan peratus kehadiran ke sekolah serta isu berkaitan pengangkutan dan infrastruktur.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kolokium Pendidikan dan Sosioekonomi Orang Asli Peringkat Kebangsaan di IPG Tengku Ampuan Afzan, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Rektor IPG Malaysia, Dr Rusmini Ku Ahmad dan Pengarah IPG Tengku Ampuan Afzan, Abdullah Mohd Yusof.

Maszlee berkata, kementeriannya komited memperkasakan Pusat Didikan Komuniti sebagai alternatif kepada sekolah aliran perdana serta meningkatkan bilangan Sekolah Model Khas K-9/K-12.

“Usaha berterusan perlu untuk memperkasa modul Pendidikan Asas Vokasional di sekolah Orang Asli sekali gus peluang menambah bilangan pelajar menyertai program Latihan Teknikal dan Vokasional ( TVET ), selain bidang sukan serta kesenian.

”Kita melihat masyarakat Orang Asli mempunyai bakat dalam bidang sukan dan kesenian yang boleh diketengahkan ke peringkat lebih tinggi dan ini secara langsung meningkatkan peluang pekerjaan kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata, dalam masa yang sama, Kementerian Pendidikan membuka laluan khas untuk memasuki universiti awan (UA) dan tahun ini seramai 401 pelajar Orang Asli berjaya memasuki UA menggunakan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan 74 orang menggunakan keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

“Kementerian Pendidikan ingin memastikan tidak ada golongan yang tersisih daripada sistem pendidikan dan menyediakan ruang seluasnya kepada etnik itu. mendapat pendidikan setanding masyarakat lain,” katanya.

Beliau berkata, usaha menambah guru pelatih dan graduan Orang Asli sedang dilaksana apabila 180 guru sedang mengikuti latihan di Pusat Kecemerlangan Pedagogi Peribumi Kebangsaan di IPG Tengku Ampuan Afzan Lipis.

Katanya, seramai 80 guru ambilan khas Orang Asli dari institut ini kini ditempatkan di sekolah Orang Asli di seluruh negara.

Sementara itu, ketika diminta mengulas masalah pengangkutan ke sekolah untuk anak Orang Asli di Pahang, beliau memberi jaminan untuk melihat dengan lebih dekat isu itu.

Difahamkan, masalah kelewatan bayaran kepada kontraktor menjadi punca kemudahan pengangkutan itu berdepan masalah sehingga mengakibatkan ramai anak Orang Asli yang tidak dapat ke sekolah.

“Saya akan bawa isu ini kepada JAKOA dan kebetulan yang menjadi Ketua Pengarah sekarang (Prof Dr Juli Edo) adalah seorang yang sentiasa bekerjasama rapat dengan kami di Kementerian,” katanya.
Powered by Blogger.