Inspektor dikepung, diugut ketika makan


Seorang pegawai polis berpangkat inspektor serta keluarganya berdepan detik cemas selepas dikepung dan diugut sekumpulan lelaki ketika makan di tempat awam, dipercayai ada kaitan dengan kumpulan kongsi gelap petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu, pegawai polis berpangkat Inspektor itu bersama isteri, anak, anak saudara serta ibu mentuanya sedang makan di sebuah gerai di Kompleks Sukan Pandamaran, di sini, sebelum mereka dikepung sekumpulan lelaki.

Sumber berkata, kumpulan kira-kira 10 lelaki itu turut membawa senjata tajam seperti pisau lipat, kerambit dan besi buku lima di gerai berkenaan sambil menuturkan kata-kata ugutan.

“Mangsa ketika itu sedang memangku anaknya berusia dua tahun dan terkejut selepas dikepung oleh mereka.

Sumber berkata, kejadian itu turut disaksikan kira-kira 50 orang awam serta peniaga di sekitar kompleks berkenaan.

“Berikutan kejadian itu, anak, isteri, serta ibu mentua pegawai polis itu mengalami ketakutan dan trauma dan ketika kejadian anak yang dipangkunya menangis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, berkata polis menerima laporan polis daripada mangsa yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

“Hasil siasatan mangsa tidak disentuh atau dicederakan.

“Siasatan juga mendapati berlaku perselisihan faham antara mangsa dan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO),” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, seorang suspek lelaki berusia 38 tahun ditahan berkaitan kes itu dan disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

-- BERITA HARIAN
Powered by Blogger.