TNB tawar insentif khas sempena sambutan Hari Kebangsaan


Tenaga Nasional Berhad (TNB) sekali lagi menawarkan insentif khas sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini bagi menggalakkan pengguna perdagangan menerangi bangunan dan kawasan persekitaran masing-masing dengan lampu hiasan.

Insentif sejak tahun 2000 itu diberikan kepada semua pengguna perdagangan di bawah tarif B, C1 dan C2 yang beroperasi sekurang-kurangnya setahun, untuk tempoh dua bulan iaitu Ogos dan September tahun ini sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-62.

TNB dalam satu kenyataan, di sini hari ini, memaklumkan ia meliputi bangunan pencakar langit, bangunan pejabat, kompleks komersial, kompleks beli-belah, hotel dan stesen minyak.

Kadar insentif adalah 20.8 sen/kWj (kadar tarifneon & floodlight) bagi jumlah peningkatan penggunaan tenaga elektrik yang melebihi purata kegunaan tiga bulan yang diambil dari bulan Mei, Jun dan Julai tahun ini.

Pengguna yang layak boleh mendapatkan borang permohonan di semua Kedai Tenaga yang berhampiran atau melalui myTNB Self Service Portal, www.mytnb.com.my. Tarikh tutup permohonan ialah pada 15 September ini. - BERITA HARIAN
Powered by Blogger.