Tahun Melawat Malaysia 2020: MOTAC susun pelbagai program promosi di luar negara


Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah merencana pelbagai program bagi mempromosi Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020) di luar negara, termasuk di China, Bosnia, United Kingdom dan India.

Sehubungan itu Menterinya Datuk Mohamaddin Ketapi menafikan dakwaan mana-mana pihak yang merasakan kurang promosi dijalankan bagi menjayakan kempen berkenaan.

Selain itu katanya kempen VM2020 juga sedang rancak dilaksanakan oleh Tourism Malaysia melalui 38 pejabatnya di luar negara.

"Usaha promosi VM2020 bukan tiada atau berkurang, sebaliknya bertambah," katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Raja Azmi Raja Nazuddin di sini hari ini.

Mengenai pertemuan itu, Mohamaddin berkata beliau dimaklumkan MAHB sedang dalam perbincangan dengan beberapa syarikat penerbangan luar yang berminat untuk beroperasi di negara.

"Kita ada menerima permintaan dari syarikat penerbangan India dan negara Asia Barat, sekiranya semua perbincangan berjalan lancar kita jangka mereka akan mula beroperasi selewatnya hujung tahun ini," katanya.

-- BERNAMA
Powered by Blogger.