Projek baik pulih sekolah daif Sarawak dimula sejak 5 Ogos


Kementerian Kewangan sudah memulakan proses membaik pulih sekolah daif di Sarawak sejak 5 Ogos lalu.

Menterinya, Lim Guan Eng, berkata walaupun bayaran balik hutang daripada Kerajaan Sarawak berjumlah RM350 juta hanya diterima pada 8 Ogos, kementerian sudah mengeluarkan surat pada 5 Ogos untuk membenarkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan kerja awal.

Katanya, pada 14 Ogos pula, kementeriannya sekali lagi mengeluarkan surat kepada KPM memaklumkan bayaran oleh Sarawak diterima dan meminta kementerian itu mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan pelaksanaan fasa pertama projek itu disegerakan.

“Kerajaan Persekutuan juga membuat pengecualian dalam meluluskan permohonan Sarawak supaya pelaksanaan projek membaik pulih sekolah daif dipantau Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan diberi keutamaan kepada kontraktor tempatan yang beroperasi di Sarawak.

“Selain itu, pemilihan sekolah daif untuk dibaik pulih juga mengambil kira keutamaan Sarawak.

“KPM turut mengeluarkan Surat Kuasa Pelaksanaan Projek kepada pihak Ketua Pengarah Kerja Raya bagi membolehkan pihak JKR Sarawak memulakan kerja awalan dengan segera dan JKR Sarawak juga sudah mengenal pasti tujuh sekolah yang dapat diiklankan tender pada 26 Ogos lalu ,manakala baki 30 projek lagi dijangka ditender pada hujung Oktober ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Guan Eng berkata, Kerajaan Persekutuan komited menyegerakan proses perolehan dan perbelanjaan sehingga RM350 juta untuk fasa pertama projek membaik pulih sekolah daif di Sarawak sebaik saja kerajaan negeri membuat bayaran balik hutang, seperti dinyatakan pada siaran media bertarikh 22 Julai lalu.

Beliau berkata, kenyataan Ketua Menteri Sarawak yang mendakwa Menteri Kewangan menyatakan jawatankuasa perlu ditubuhkan adalah tidak benar dan amat dikesali.

“Penubuhan empat Jawatankuasa Khas di peringkat Kerajaan Persekutuan bagi pelaksanaan dan pemantauan projek ini sudah dibuat dan mula dilaksanakan sejak 19 Mac lalu.

“Kenyataan beliau itu amat mengecewakan kerana ia menidakkan usaha dilaksanakan Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan dan menyegerakan projek membaik pulih sekolah daif di Sarawak, dengan mengambil kira permohonan serta keperluan Kerajaan Sarawak,” katanya. - BERITA HARIAN
Powered by Blogger.