MSN sentiasa pantau keadaan jerebu


Majlis Sukan Negara (MSN) sudah siap siaga dengan alternatif lain buat atlet sekiranya masalah jerebu melanda negara ketika ini makin meruncing.

Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan, Majlis Sukan Negara (MSN), Abdul Rashid Yaakub, berkata langkah itu perlu bagi membolehkan atlet meneruskan latihan bagi menghadapi Sukan SEA Filipina 2019, hujung tahun ini.

"Dari semasa ke semasa kita sentiasa memantau bacaan jerebu bagi mengenalpasti sama ada latihan boleh diteruskan atau tidak, namun setakat ini program latihan berjalan seperti biasa kerana tahap jerebu masih belum melepasi tahap bahaya.

"Sekiranya bacaan itu melepasi tahap merbahaya mungkin kita akan cari alternatif lain untuk atlet melakukan latihan termasuk menggunakan gelanggang tertutup atau memindahkan lokasi latihan ke tempat kurang jerebunya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Program Ibadah Korban MSN 2019 di Vista MSN di sini, hari ini.

Katanya, MSN juga sering berhubung dengan pihak berkuasa alam sekitar untuk mengetahui status sebenar udara.

Selain itu, Abdul Rashid mengakui pihaknya tidak begitu bimbang kerana memiliki sendiri alat bacaan indeks pencemaran udara (IPU) yang dipasang pada satu bangunan MSN.

Bersempena hari terakhir tasyrik hari ini, MSN melaksanakan ibadah korban yang turut dilakukan setiap tahun bersama warga MSN, jurulatih, atlet dan penduduk setempat.

Antara atlet dan jurulatih turut hadir memeriahkan majlis itu ialah atlet para olahraga, Abdul Latif Romly dan Mohd Saifuddin Ishak serta Penolong Jurulatih Hoki Wanita, Lailin Abu Hassan. - BERITA HARIAN
Powered by Blogger.