Jerebu: Miri terus catat IPU berbahaya malam ini
Kualiti udara di Miri, Sarawak terus berada pada tahap berbahaya dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 300 setakat 10 malam ini.
Menurut data yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS), bacaan IPU 358 dan 305 masing-masing dicatat di stesen pemantauan udara di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Baram 2, dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri.
Hari ini, cerapan kualiti udara di SK Kuala Baram 2 mula mencapai kategori berbahaya pada jam 10 pagi tadi dengan bacaan IPU 302, manakala di ILP Miri, bacaan sangat tidak sihat antara 201-300 direkodkan dari jam 9 pagi hingga 5 petang sebelum memasuki kategori berbahaya pada jam 6 petang tadi dengan bacaan IPU 302.
Sementara itu, Sibu dan Sri Aman juga mencatat bacaan kualiti udara tidak sihat iaitu masing-masing 154 dan 132 setakat jam 10 malam ini, manakala kebanyakan lokasi lain di seluruh negara merekodkan bacaan IPU sederhana.
Bacaan IPU 0-50 menunjukkan kualiti udara sihat, 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat), dan berbahaya jika melebihi 300. – BERNAMA
Post a Comment