Hael selami pesakit kanser
Menampilkan sentuhan muzik yang berbeza, single terbaharu penyanyi dan komposer terkenal, Hael Husaini berjudul Hari Ini ternyata mendapat sambutan hangat apabila mencecah 2.4 juta tontonan di laman YouTube sejak dilancarkan tiga bulan lalu.
Lebih bermakna kata Hael, lagu itu menceritakan mengenai isteri yang menghidap kanser dan berjuang hingga ke akhir hayatnya.
“Apa yang menyentuh hati, isteri itu tidak tahu suaminya sebenarnya tahu dia menderita penyakit terbabit.
“Saya bersyukur lagu yang menceritakan pesakit kanser ini mendapat sambutan peminat.
“Oleh itu, saya dan pihak pengurusan Rocketfuel memilih mengadakan program CSR bersama pesakit kanser susulan daripada single terbaru saya berjudul Hari Ini,” katanya.
Hael ditemui pada program CSR Hari Ini yang berlangsung di Institut Kanser Negara, Putrajaya, baru-baru ini.
Mengulas mengenai program CSR Itu, kata Hael, dia bersyukur kerana dapat menyelami hati pesakit kanser dan menceriakan hari mereka.
“Saya berasa tenang kerana dapat memberi semangat kepada pesakit kanser untuk mereka terus berjuang dan kembali pulih.
“Selain sedikit sumbangan sebagai anak seni, ia juga tanggungjawab sosial saya kepada masyarakat,” katanya.
Walaupun tiada rakan dan ahli keluarga yang menderita penyakit kanser, Hael akui berasa terpanggil untuk menjayakan program CSR membabitkan penyakit berbahaya itu.
“Sebagai artis saya mahu meningkatkan kesedaran kepada masyarakat mengenai penyakit kanser.
“Kita juga perlu menghargai nikmat kesihatan kerana ada insan lain yang berjuang melawan penyakit berbahaya untuk terus hidup,” katanya.
BEREHAT BERDUET DENGAN DAYANG
Selepas kejayaan lagu duet Haram bersama Dayang Nurfaizah, Hael mengakui dia mahu berehat seketika daripada bekerjasama dengan penyanyi terkenal itu. Menurut Hael, dia mahu fokus menyiapkan single solo terbaharunya.
“Saya belum boleh bercerita mengenai lagu solo kerana masih dalam proses pembikinan,” katanya.
Mengenai projek lagu untuk artis lain pula, kata Hael, dia akan menghasilkan lagu untuk seorang artis legenda dan artis baharu tahun ini.
“Selain itu, saya ada terbabit dengan beberapa projek lagu membabitkan negara jiran, Indonesia.
“Buat masa ini, saya sibuk membuat persiapan untuk projek itu,” katanya.
Post a Comment