Gagal lindungi data peribadi pelanggan, pengguna data tiga sektor dikenakan tindakan


Pengguna data daripada tiga sektor - pendidikan, perkhidmatan serta pelancongan dan hospitaliti telah dikenakan tindakan kerana tidak mematuhi Akta Perlindungan Data Peribadi (APDP) 2010, menurut Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Akta Peribadi Mazmalek Mohamad.

Beliau berkata sejak 2017, pihaknya telah mengenakan kompaun berjumlah RM70,000 terhadap enam pengguna data dari sektor itu sementara lima pengguna telah didakwa di mahkamah dan dikenakan denda berjumlah RM54,000.

“Pengguna data yang dikenakan tindakan itu merupakan syarikat atau agensi yang gagal mengambil langkah keselamatan serta tidak mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi melindungi data peribadi pelanggan mereka,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu jemputan program Nine-11 terbitan Bernama News Channel.

Katanya terdapat 13 sektor yang tertakluk di bawah APDP 2010 iaitu komunikasi, perbankan, insurans, kesihatan, pelancongan dan hospitaliti, pengangkutan, pendidikan, jualan langsung, perkhidmatan, hartanah, utiliti, pajak gadai dan peminjam wang.

Mazmalek berkata bagi memastikan pengguna data menguruskan data perbadi secara berhemah dan berintegriti, jabatan itu akan sentiasa meningkatkan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan secara berterusan.

-- BERNAMA
Powered by Blogger.