Lelaki samun stesen minyak guna parang


Seorang lelaki bersenjatakan sebilah parang mengambil masa hanya dua minit untuk melarikan peti wang mengandungi tunai RM3,500, sebuah telefon bimbit dan rokok pelbagai jenama dari sebuah stesen minyak di Bemban di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian pukul 3.47 pagi itu, seorang lagi suspek dipercayai menunggu di atas sebuah motosikal sementara rakannya melakukan jenayah samun tersebut. 

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, suspek yang memakai topeng dan topi keledar masuk ke dalam premis tersebut melalui pintu utama sambil mengacukan sebilah parang pendek ke arah seorang pekerja wanita di stesen minyak berkenaan yang berusia 23 tahun. 

"Suspek telah mengambil telefon bimbit mangsa dan sebuah peti menyimpan wang yang mengandungi tunai RM3,500 sebelum keluar dari kaunter itu lalu menuju ke kaunter bayaran 7-Eleven yang berkongsi premis perniagaan. 

"Lelaki itu kemudian mengambil sejumlah rokok di almari pameran rokok dan melarikan diri menaiki motosikal ditunggangi rakannya yang menunggu di luar," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Mengulas lanjut, Arshad berkata, siasatan terhadap kamera litar tertutup di premis itu menunjukkan kejadian berlaku antara pukul 3.47 hingga 3.49 pagi. 

"Ketika kejadian, dua lagi pekerja wanita 7-Eleven berusia 19 tahun sempat melarikan diri masuk ke dalam bilik stor dan hanya melihat kejadian itu dari arah cermin kaca. 

"Ketiga-tiga pekerja wanita di dalam premis tersebut bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya. 

Arshad berkata, pihaknya kini sedang giat memburu kedua-dua suspek dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan menggunakan senjata. K! ONLINE
Powered by Blogger.