Video Tular Kereta Peronda Polis Lawan Arus Hulur Bantuan


 

Kejadian sebuah kereta peronda (MPV) melawan arus yang tular di laman sosial berlaku ketika kenderaan terbabit sedang dalam penugasan rondaan mencegah kemalangan, awal pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata kejadian berlaku pada 2.30 pagi antara KM23J Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) arah timur (Plaza Tol Perling) dan lokasi kemalangan di KM22.1J lebuh raya sama.

“Ketika berada berhampiran Plaza Tol Perling arah pusat bandar Johor Bahru, beberapa pengguna jalan raya memaklumkan kepada dua anggota MPV daripada Unit Peronda Lebuhraya Zon Selatan tersebut berkaitan kemalangan yang berlaku tidak jauh daripada tempat anggota tersebut berada.

“Bagi menjaga keselamatan pengguna jalan raya lain, dua anggota MPV berkenaan berpatah balik ke lokasi kemalangan bagi membantu mangsa memandangkan lokasi kemalangan hanya diterangi dengan lampu jalan dan jarak lokasi kemalangan itu dari Plaza Tol Perling kira-kira 1.5 KM,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Mohd Kamarudin berkata langkah keselamatan dilakukan dua anggota MPV itu dengan memasang lampu mata arah, siren dan menggunakan lorong kecemasan manakala tindakan segera berpatah balik dilakukan kerana lalu lintas pada masa tersebut tidak sesak serta selamat untuk tindakan awal.

Beliau berkata kedua-dua anggota MPV berkenaan kemudian bertindak mengawal lalu lintas lokasi kemalangan selain membantu mangsa kemalangan sementara menunggu ketibaan pasukan paramedik.

Katanya siasatan terperinci berhubung kejadian tersebut sedang dilakukan. - BERNAMA

Powered by Blogger.