Kepercayaan Lama Masih Relevan Buat Orang Asli Suku Batek
Masyarakat Orang Asli suku Batek yang majoritinya telah menganuti agama Islam masih berpegang kuat kepada kepercayaan tradisi yang diwarisi nenek moyang mereka sejak turun-temurun.
Pensyarah Fakulti Sains Sosial Gunaan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZa) Terengganu Dr Mohamad Asmawi Ibrahim berkata hasil pemerhatiannya terhadap masyarakat tersebut, belum banyak pengaruh Islam dapat dilihat dalam pola tingkah laku harian suku itu.
Beliau berkata suku Batek masih mempercayai adanya satu entiti tertentu atau makhluk ghaib yang mempunyai kuasa dan mempengaruhi kehidupan mereka.
"Entiti itu diberi nama tertentu seperti 'Hala', 'Asal', 'Karei', dan 'Gobar'. Nama berkenaan menjadi lambang kuasa bersifat kekal dan sering dirujuk sebagai kuasa luar biasa atau semangat yang dipanggil 'Orang Hidup'," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Mohamad Asmawi berkata hasil pemerhatiannya sepanjang menjalankan kajian terhadap kepercayaan masyarakat Batek pada 2017 mendapati kepercayaan itu masih diamalkan pelbagai konteks kehidupan suku itu sehingga hari ini.
Katanya antara contoh berkaitan kepercayaan suku tersebut termasuklah beliau seringkali terdengar wanita atau golongan tua suku itu menyebut 'Gobar' apabila guruh berdentum.
"'Gobar' dikaitkan dengan makhluk luar biasa yang menjaga sungai dan alam cakerawala selain sebagai pengawal tindak tanduk manusia," katanya.
Mohamad Asmawi berkata suku Batek percaya manusia yang melanggar peraturan yang ditetapkan akan menimbulkan kemarahan 'Gobar' dan kemarahan itu akan ditunjukkan dengan menghantar guruh atau petir serta bencana alam lain seperti banjir besar dan kemarau panjang.
Beliau berkata masyarakat yang berasal dari suku Negrito itu juga percaya 'Hala' mempunyai kuasa menjadikan alam dan isinya di samping menyediakan sumber berterusan untuk kesinambungan hidup.
Di samping itu katanya 'Hala' juga sering dikaitkan mempunyai kebolehan sebagai perantara dalam mengendalikan dunia roh dan alam ghaib selain menjadi rujukan pertama apabila berlaku masalah berkaitan penyakit.
Mohamad Asmawi berkata kewujudan semua pantang larang dan kepercayaan dalam suku Batek kerana adanya perkongsian dan hubungan intim dengan alam termasuk tumbuh-tumbuhan, binatang, serangga dan organisma bukan hidup dalam lingkungan ekologi alam semula jadi mereka.
Malah katanya kepercayaan itu banyak mempengaruhi sikap dan tingkah laku mereka dalam semua aspek kehidupan termasuk sosioekonomi dan sistem sosial.
"Suku Batek mempunyai alasan tersendiri dalam melaksanakan kepercayaan dan pantang larang iaitu ia dianggap pelengkap kepada peraturan dan bertujuan menjaga keselamatan supaya tidak ditimpa bencana," katanya.
Beliau berkata suku Batek juga takut melanggar pantang larang kerana meyakini ia akan menyebabkan berlakunya sesuatu kemudaratan dan perkara itu menjadi pegangan kuat sehingga ke hari ini.
Masyarakat Orang Asli suku Batek di Kelantan mula mendapat perhatian umum, selepas dua orang daripada suku itu meninggal dunia dipercayai akibat radang paru-paru bermula awal bulan lepas. -BERNAMA
Post a Comment