Hebahan Skim Perlindungan Kesihatan Nasional (MySalam) Perlu Diperhebatkan




Publisiti serta hebahan semua inisiatif kerajaan yang memberi manfaat kepada rakyat khususnya golongan kurang berkemampuan seperti Skim Perlindungan Kesihatan Nasional (MySalam) perlu diperhebatkan kerana ia ibarat talian hayat kepada mereka.

Rata-rata ramai mengetahui kewujudan skim itu mulai 1 Jan lalu hasil kerjasama kerajaan dengan syarikat insurans, Great Eastern Holdings yang menyumbang caruman dana permulaan RM2 bilion ke dalam dana amanah, MySalam, namun tidak tahu cara permohonan dan pelaksanaannya.

Bagi Nursuhaidah Omar, 40, dia mengetahui skim tersebut daripada kaca televisyen namun tidak tahu cara sebenar untuk mendapatkannya terutama apabila suami beliau dimasukkan ke hospital selama sebulan pada Februari lalu.

Nursuhaidah yang terpaksa berhenti kerja kerana menjaga suaminya, Muhammad Azman Tabri, 41, yang kudung kaki kiri selepas terkena jangkitan kuman, memang mengharapkan segala jenis bantuan untuk meringankan beban keluarganya yang mempunya tujuh orang anak.

“Saya ada menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) mengatakan saya layak untuk MySalam tetapi saya tidak tahu ke mana untuk saya rujuk bagi mendapatkannya. Kalau dapat sedikit sebanyak boleh menampung kos perubatan suami yang perlu membuat rawatan susulan di Hospital Teluk Intan,” katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Bagi ibu tunggal Noorhayati Said, 42, dia hanya pernah dengar mengenai skim tersebut tetapi tidak mengetahui faedah sebenar yang menyediakan elaun hospital harian RM50 sehari atau maksimum RM700 setahun, jika menghidap 36 penyakit kritikal.

“Jadi selepas ini mungkin kerajaan perlu memastikan golongan susah seperti kami dapat menikmati faedah ini sekiranya ada ahli keluarga kami yang sakit,” katanya yang mempunyai enam orang anak.

Bagi peniaga gerai makanan, Baharuddin Abdullah, 57, dia tidak pernah mendengar mengenai MySalam dan kecewa kerana kerajaan tidak memainkan peranan sewajarnya untuk memastikan golongan berpendapatan rendah yang menghadapi penyakit kritikal menerima bantuan.

“Sepatutnya perkara seperti ini diperbesarkan dan orang ramai ambil maklum mengenai skim ini terutama golongan berpendapatan rendah seperti kami dan berharap selepas ini kerajaan boleh membuat sesuatu supaya skim ini lebih diketahui masyarakat,” katanya yang telah berniaga lebih 10 tahun.

Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Negeri, A Sivanesan ketika dihubungi berkata pihaknya akan membincangkan usaha memperhebat kempen skim itu dalam masa terdekat.

Katanya perbincangan itu turut melibatkan Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Sosial, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri Wong May Ing. - BERNAMA 

Powered by Blogger.