ATM Tahan Empat PATI, Rampas 1,579 kg Daun Ketum




Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menahan empat pendatang tanpa izin dan merampas 1,579 kilogram (kg) daun ketum yang dianggarkan bernilai RM142,110 di sempadan Malaysia-Thailand, dekat Durian Burung, Padang Terap.

Panglima 6 Briged, Brigadier Jeneral Mohd Halim Khalid berkata, mereka terdiri daripada dua lelaki warga Thailand dan Myanmar yang disyaki penyeludup serta dua pendatang tanpa izin warga Myanmar yang ditahan pasukan ronda 6 Rejimen Renjer Diraja (6 RRD) pada kira-kira 5 petang.

“Pada mulanya pasukan rondaan telah bertembung dengan seorang lelaki disyaki warga asing, namun dia bertindak melarikan diri sebaik menyedari pasukan keselamatan sebelum berjaya ditahan, kita syaki tempat dia ditahan dipercayai tempat pembungkusan dan transit daun ketum sebelum diseludup ke Thailand,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mohd Halim berkata, hasil penggeledahan di tempat kejadian telah menemui tiga warga asing iaitu dua lelaki dan seorang perempuan yang bersembunyi di kawasan hutan berhampiran, namun mereka berjaya ditahan selepas itu.

Katanya, soal siasat yang dilakukan secara lisan mendapati terdapat tiga lagi warga asing telah melarikan diri ke dalam hutan.

Menurutnya, semasa anggota tersebut membuat pemeriksaan terhadap tangkapan dan barang rampasan, terdapat sebuah kenderaan pacuan empat roda menghampiri lokasi kejadian yang kemudian berjaya melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pasukan keselamatan.

“Pemandu kenderaan itu bertindak melarikan diri ke dalam hutan berhampiran dan hasil pemeriksaan kita menemui sejumlah bungkusan plastik hitam berisi daun ketum di dalam kenderaan itu, selain kenderaan terbabit, kita turut menemui kereta jenis Proton Waja di lokasi berhampiran,” katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati dua lelaki yang ditahan iaitu warga Thailand dan Myanmar adalah disyaki penyeludup ketum dan juga pendatang tanpa izin ke sempadan Thailand.

“Seorang lelaki dan perempuan Myanmar yang turut ditahan dipercayai sedang menunggu kenderaan untuk dihantar ke sempadan Thailand,” katanya dan berkata pihaknya turut merampas wang tunai berjumlah RM3,720 dan tujuh telefon bimbit.

Katanya, semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Terap untuk tindakan lanjut.

Tambah beliau, rampasan ini adalah kejayaan bagi pasukan ATM kerana berjaya membongkar satu kawasan pembungkusan dan transit daun ketum besar-besaran selain tempat penyeludupan manusia di sempadan. - BERNAMA 
Powered by Blogger.