90 peratus penduduk Orang Asli Sungai Rual telah diberi suntikan vaksin


Hampir 90 peratus daripada 788 penduduk Orang Asli di perkampungan Sungai Rual telah diberikan suntikan vaksin secara berkala bagi mencegah penularan penyakit berjangkit dalam kalangan masyarakat di perkampungan itu.

Pegawai Kesihatan Daerah Jeli, Dr Amirulazman Abu Hassan berkata langkah berkenaan diambil bagi memastikan tahap kesihatan penduduk di perkampungan terbabit sentiasa dalam pemantauan pihaknya.

"Ia bukan dilakukan susulan penyakit demam campak yang dialami oleh Orang Asli suku kaum Batek di Kuala Koh, Gua Musang yang menyebabkan kematian…. tindakan penyuntikan vaksin itu secara berkala.

Kami mempunyai pasukan kesihatan Orang Asli bergerak selain daripada klinik kesihatan yang ada di kampung ini untuk pemantauan kesihatan masyarakat di sini, " katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Aidilfitri bersama Masyarakat Orang Asli, Sungai Rual di sini, hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan mengesahkan wabak yang menjangkiti komuniti Orang Asli suku Batek di Kuala Koh, Gua Musang, termasuk membabitkan kematian disebabkan demam campak.

Dr Amirulazaman berkata hanya 10 penduduk masyarakat di kampung terbabit tidak mendapat suntikan vaksin berikutan berhijrah ke tempat lain selain kemasukan baharu masyarakat Orang Asli dari perkampungan lain ke perkampungan itu.

"Bagaimanapun tahap kesihatan masyarakat di sini memuaskan berikutan pihak kami sentiasa melakukan ujian saringan kesihatan di sini

Tahap kesedaran kesihatan masyarakat di sini juga agak tinggi kerana mereka tinggal di kawasan pinggiran bandar yang berdekatan kemudahan kesihatan (hospital)," katanya.

Sementara itu penghulu kampung berkenaan Bidin Daud berkata pihaknya menasihatkan semua penduduk di perkampungan itu agar menghentikan seketika hubungan dengan masyarakat Orang Asli di luar kawasan berkenaan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

"Peringatan hanya sementara waktu berikutan kejadian yang menimpa suku kaum Batek di Kuala Koh. Kita tak mahu Orang Asli di sini turut terdedah dengan ancaman penyakit yang berbahaya," katanya. - BERNAMA
Powered by Blogger.