(Video) Polis buru 3 lelaki 'penarik kereta' dipercayai scammer


Polis sedang memburu tiga lelaki ‘penarik kereta’ yang terbabit dalam kejadian cuba menarik kereta seorang wanita di Jalan Dutamas 2 berhampiran Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur, pada 17 Mei lalu.

Dalam kejadian 3 petang itu, tiga lelaki berkenaan mendakwa pemilik kereta itu mempunyai tunggakan bayaran ansuran bank selama 19 bulan dan mendapat arahan daripada pihak bank untuk menarik kereta itu, namun pemiliknya menafikannya.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy Chinniah berkata, anggota polis yang tiba di lokasi kejadian cuba menyelesaikan perkara itu, namun tiga lelaki berkenaan berkeras mahu meneruskan niat mereka.

“Seorang wanita berusia 32 tahun mendapat panggilan daripada nombor tidak dikenali mendakwa keretanya menghalang laluan di lokasi dan memintanya mengalihkan kenderaan itu.

“Sebaik tiba dekat keretanya, wanita itu mendapati tiga lelaki berada di sebelah keretanya bersama trak penunda dan memaklumkan kenderaan itu mempunyai tunggakan selama 19 bulan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, wanita itu cuba menghubungi pihak bank untuk kepastian, namun dihalang lelaki berkenaan sebelum rakan wanita berkenaan menghubungi pihak polis.


Menurutnya, polis tiba untuk membantu dan meminta kedua-dua pihak ke balai polis untuk membuat laporan.

Katanya, walaupun perkara itu diselesaikan dengan baik oleh anggota polis, tiga lelaki berkenaan didapati gagal hadir ke balai untuk membuat laporan.

“Wanita itu mendakwa tidak pernah menerima sebarang notis tunggakan atau ‘repossesion order’ daripada pihak bank.

“Butir-butir tiga lelaki berkenaan sudah diperoleh dan usaha menangkap mereka sedang dijalankan.

“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan,” katanya.

Terdahulu, satu rakaman memaparkan kejadian berkenaan tular di laman sosial yang menunjukkan seorang anggota polis cuba menyelesaikan kejadian itu, namun seorang lelaki meninggikan suara kepada anggota berkenaan.
Powered by Blogger.