'Puding Raja' pencuci mulut popular di bulan Ramadan


Puding Raja, sejenis kuih terkenal di Pahang yang dulunya hanya menjadi juadah santapan diraja, kini antara kuih paling popular pada bulan Ramadan.

Menjelas lanjut mengenai makanan pencuci mulut itu, penjual kuih Ahmad Mohd Ishak, 40, berkata bahan-bahan utamanya adalah pisang lemak manis dan jala emas (kuning telur dimasak dengan air gula) buah prun, ceri manis dan kacang gajus.

"Krimnya yang manis membuatkan puding raja berbeza daripada kuih-kuih lain. Rasanya yang seimbang antara manis dan berkrim...maka tidak mudah berasa mual walaupun telah makan dengan banyak," kata beliau kepada Bernama ketika ditemui di bazar Ramadan di sini hari ini.

Ahmad mendakwa resipi keluarganya itu sememangnya berasal dari istana di Pekan kerana ibunya Engku Remah Engku Stibha, 62, pernah memasak untuk keluarga diraja ketika usia mudanya. Beliau mula berniaga puding raja pada 2012.

Bapa kepada tiga orang anak itu berkata, disebabkan faktor usia yang telah lanjut, ibunya telah menyerahkan perniagaan itu kepadanya pada 2017 dan pada bulan Ramadan, beliau boleh menjual sehingga 200 bekas kuih sehari bersaiz kecil, sederhana dan besar yang dijual pada harga RM5 hingga RM30.

Untuk memenuhi permintaan pelanggan, kata Ahmad, beliau perlu ke pasar tani seawal pukul 5 pagi untuk membeli pisang dan menggunakan sehingga 300 biji telur dan enam kilogram gula untuk membuat jala emas, yang perlu ditambah setiap dua atau tiga hari.

"Proses yang paling banyak mengambil masa adalah untuk memisahkan kuning telur. Saya perlu lebih berhati-hati kerana jika tercampur hanya sedikit putih telur boleh merosakkan rasanya. Proses ini sahaja boleh mengambil masa beberapa jam.

"Proses kedua ialah untuk merajut jala emas dalam air gula yang mendidih. Sukatan gula yang tepat adalah sangat penting. Kuih akan menjadi keras jika terlebih gula dan jika tidak cukup gula, jala emas mudah pecah.

"Proses itu hendaklah dilakukan secara berterusan, jadi saya kena selesaikan kerja-kerja yang lain dahulu sebelum mula merajut jala emas," kata beliau dan menambah, beliau mengambil masa berahun-tahun untuk menguasai kemahiran itu.

Ahmad yang dilahir dan dibesarkan di Kampung Mengkasar di Pekan, berkata kuih puding raja keluarganya juga telah menjelajah ke luar Kuantan dan ada pelanggan yang sanggup menunggu di terminal bas untuk mengutip kuih yang dipesan mereka.

"Puding raja boleh tahan sehingga seminggu jika disimpan dalam penyejuk tetapi susu hendaklah di simpan dalam ais. Bagaimanpun saya mahu pelanggan saya mendapat yang terbaik, oleh itu saya tidak menyimpan stok yang besar," kata beliau. -- BERNAMA 
Powered by Blogger.