Promosi perkhidmatan Pusat Internet Malaysia perlu dipertingkatkan - Gobind


Promosi perkhidmatan dan kemudahan yang terdapat di Pusat Internet Malaysia (PIM) sedia ada perlu dipertingkatkan supaya lebih ramai masyarakat menggunakannya secara intensif.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata inisiatif kerajaan mewujudkan PIM sangat penting untuk mendidik masyarakat mengenai penggunaan jalur lebar.

"Biarpun kita ada PIM, kepada saya banyak lagi ruang perlu kita promosikan pusat ini supaya masyarakat datang dan gunakan ia secara intensif dan keseluruhan.

"Saya lihat inisiatif pewujudan PIM ini sangat penting kepada rakyat dan ianya satu landasan penting untuk kerajaan membawa ramai masyarakat untuk menggunakan kemudahan jalur lebar khususnya dalam meningkatkan perniagaan dan diguna untuk sektor pendidikan," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat PIM Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Mesra di sini, hari ini.

Menurut beliau perkara ini sangat penting seperti yang sering beliau tekankan mengenai fokus kerajaan untuk meningkatkan infrastruktur perkhidmatan jalur lebar.

Katanya ia selari dengan komitmen kerajaan ingin membawa perkhidmatan jalur lebar ke seluruh negara dan memastikan semua rakyat negara ini ada akses jalur lebar.

"Kalau ada akses jalur lebar, sangat penting tahu cara menggunakannya. Jadi, soalnya bagaimana kerajaan melaksanakan program mendidik masyarakat dan memperkasa cara perniagaan menerusi perkhidmatan jalur lebar termasuk menerusi PIM," katanya.

Selain daripada itu, katanya, perlu juga dilancar inisiatif dengan pihak sekolah di sekitar kawasan ada PIM seperti ceramah di sekolah dan lawatan pelajar ke PIM supaya mereka mengetahui kemudahan yang terdapat di pusat itu.

Dalam pada itu, Gobind berkata terdapat 117 PIM di seluruh Sabah termasuk enam dalam kawasan daerah Sandakan.

Katanya lima PIM yang terdapat di daerah ini termasuk sebuah di PPR Taman Mesra di bawah Parlimen Sandakan sudah beroperasi sepenuhnya, manakala sebuah lagi akan dilancar pada pertengahan tahun ini.

Menurut beliau terdapat permintaan daripada masyarakat untuk menambah jumlah PIM di negara ini termasuk di Sabah.

"Saya rasa ini perkara yang kita lihat sekarang disebakan kita perlu faham dalam menjayakan pewujudan PIM perlu ada kemudahan infrastruktur dan perkhidmatan jalur lebar.

"Ianya perlu dikaji rapi dan pastikan bila didirikan satu PIM, ia efektif dan ada peralatan cukup serta petugas," kata Gobind. -- BERNAMA
Powered by Blogger.