Pertukaran tanah Kementerian Pertahanan: Tiada sesiapa boleh terlepas daripada tindakan undang-undang - Dr Mahathir


Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata polis akan menyiasat sesiapa juga, termasuk perdana menteri, mengenai keterlibatan mereka dalan urusan pertukaran tanah milik Kementerian Pertahanan.

"Tiada sesiapa boleh terlepas daripada tindakan undang-undang,” kata Dr Mahathir apabila diminta memberi komen mengenai ringkasan laporan mengenai projek pertukaran tanah Kementerian Pertahanan yang berlaku semasa penggal pertama pemerintahannya sebagai perdana menteri.


Ditanya sama ada sebarang tindakan akan diambil terhadap pegawai-pegawai yang telah bersara jika didapati mereka terbabit dalam pertukaran tanah itu, Dr Mahathir berkata: "Ya, kerajaan masih boleh mengambil tindakan".

Pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kelapan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) di sini hari ini, Dr Mahathir menegaskan bahawa niatnya ialah untuk membawa laporan mengenai salah laku pada masa lepas dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka yang terbabit tidak kira sama ada mereka masih ada di sana ataupun tidak.

Sebelum ini Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dilaporkan telah mendedahkan baru-baru ini mengenai campur tangan politik dalam urusan tanah dalam kementeriannya sejak 1997.

Mengenai laporan media asing yang mengatakan pelabur dunia telah hilang sabar dengan reformasi Pakatan Harapan yang perlahan, Dr Mahathir berkata kerajaan telah menunjukkan prestasi yang baik dan banyak pelaburan telah masuk ke Malaysia dan ia menduduki tempat yang tinggi dalam pelbagai indeks antarabangsa.

"Yang jelas, Malaysia adalah sebuah negara yang baik untuk melabur tetapi (sesetengah) laporan berita melaporkan seolah-olah Malaysia adalah sebuah negara yang buruk dan terbabit dalam peperangan," kata beliau yang menambah, media tidak sepatutnya melaporkan berita tidak benar.

Ditanya sama ada laporan-laporan mengenai peristiwa 13 Mei 1969 akan diklasifikasikan semula, Dr Mahathir berkata kerajaan akan mengkaji perkara itu.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam berkata tiada permohonan rasmi diterima agar laporan-laporan berkaitan peristiwa 13 Mei itu diklasifikasikan semula.

Mengenai langkah Malaysia menghantar balik seorang wanita Thai antiraja walaupun memiliki status pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR), Dr Mahathir berkata: "Kalau ada permintaan, kita terpaksa hantar balik. (Kita jiran yang baik."

Media melaporkan Praphan Pipithnamporn yang mencari suaka politik dan berdaftar dengan UNHCR, ditangkap polis Malaysia April lepas atas permintaan Thailand dan dihantar balik minggu lepas.

Ditanya mengenai kenyataan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) terdapat aduan staf lantikan politik yang mengganggu tugas penjawat awam, Dr Mahathir berkata kemungkinan ada perselisihan pendapat dan kadang-kadang cuma menegur sahaja. - BERNAMA
Powered by Blogger.