Perlu kajian teliti jika mahu laksana pengasingan dispensari


Perbincangan dan kajian perlu dibuat dengan teliti sekiranya cadangan sistem pengasingan dispensari ingin direalisasikan di negara ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata meskipun pengasingan dispensari dilihat penting, namun perlaksanaannya perlu mengambil kira kepada kewajaran, kepentingan dan keperluan pesakit.

“Mengenai pengasingan fungsi klinik dan farmasi, kami sekarang sedang bercakap dengan kedua-dua pihak… saya tekankan mengenai pentingnya meletakkan patient centric care atau patient centered methodology dan ia mesti berteraskan pesakit.

“Untuk ke situ (sistem pengasingan dispensari) kita perlu memahami dan mengambil beberapa parameter perhitungan sekiranya kita mahu melaksanakan amalan itu yang telah dibuat di negara lain,” katanya selepas pelancaran media Kongres Dunia Mengenai Jatuh dan Kestabilan Postur 2019 (WCFPS 2019) yang pertama yang akan berlangsung pada 4 hingga 7 Dis ini.

Beliau berkata jika sistem itu dilaksanakan tanpa dikaji dengan teliti, kemungkinan pelbagai isu dan masalah membabitkan pesakit akan timbul termasuk setelah pesakit mendapat preskripsi, pesakit itu berdepan dengan kesukaran mencari farmasi untuk mendapatkan ubat.

“Jadi pada akhirnya saya melihat yang penting adalah kebajikan dan kemudahan yang kita kena sediakan... bagaimanapun saya rasa masih ada lagi ruang untuk kita berbincang,” katanya.

Malaysia adalah negara pertama yang menjadi tuan rumah WCFPS 2019, yang dijadual diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Sementara itu, Dr Dzulkefly berkata adalah penting bagi Malaysia untuk membuat persediaan awal tentang masalah dihadapi warga tua ketika negara menghadapi penuaan populasi menjelang 2020.

“Kesedaran awal itu penting, ramai telah bercakap mengenai penuaan populasi, tetapi tidak ramai yang melihat apakah persiapan yang perlu dibuat… maka kita harap kita akan dapat manfaat daripada kongres ini,” katanya.

Beliau berkata warga tua mempunyai risiko kematian paling tinggi atau kecederaan serius akibat jatuh dan risiko itu meningkat apabila usia bertambah dan di Malaysia, keputusan awal Kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan mendapati 15 peratus daripada warga tua di Malaysia jatuh sekurang-kurangnya setahun sekali. -- BERNAMA
Powered by Blogger.