MRL, kerajaan tidak dakwa penjimatan ECRL semata-mata daripada kos yang tinggi


Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) mahupun kerajaan tidak mendakwa bahawa penjimatan RM21.5 bilion daripada projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang disambung semula adalah semata-mata daripada elemen kos yang tinggi.

MRL berkata ia bukan asas rundingan dengan kerajaan China sebaliknya Malaysia merundingkan projek berkenaan dengan dasar kerjasama untuk mencari jalan dan kaedah bagi mengurangkan kos ECRL tanpa menggugurkan aspek penting dalam rangkaian rel tersebut.

“Kedua-dua negara memilih untuk mengadakan rundingan dalam semangat faedah diplomatik bersama, bertujuan agar pembinaan ECRL dapat dimuktamadkan pada kos yang lebih rendah,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan berkenaan bagi memperjelas tulisan pendapat oleh seorang kolumnis yang diterbitkan dalam talian baru-baru ini.

Mengulangi pengumuman Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 15 April lepas, MRL berkata kerajaan perlu melaksanakan projek itu dalam lingkungan kekangan perjanjian kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC) sedia ada bagi laluan rel sepanjang 640 kilometer yang dimeterai antara MRL dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) pada November 2016.

Kerajaan berdepan pilihan sama ada merundingkan semula perjanjian EPCC itu atau membayar kos penamatan yang besar berjumlah RM21.78 bilion, kata MRL.

“Memandangkan perhatian utama kerajaan pada kos ECRL yang tinggi, ia kemudian memutuskan untuk merundingkan semula perjanjian EPCC dengan CCCC dan kerajaan China bagi mencapai kesepakatan yang lebih saksama demi rakyat.

“Apa yang relevan adalah rundingan semula projek ECRL membawa kepada situasi menang-menang yang memberi manfaat bersama kepada Malaysia dan China,” menurut MRL.

MRL berkata ia termasuk pengurangan pada jumlah yang besar iaitu RM21.5 biion atau 33 peratus daripada kos projek kepada RM44 bilion, pewujudan syarikat usaha sama 50:50 antara MRL dan CCCC bagi operasi dan penyenggaraan ECRL, di samping peningkatan penyertaaan kontraktor Malaysia dalam kerja-kerja awam.

Mengenai kajian kebolehlaksanaan dan laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA), MRL berkata proses rundingan semula itu bukan untuk mencapai perjanjian EPCC baharu, sebaliknya ia demi melancarkan penyambungan semula ECRL menerusi perjanjian tambahan yang ditandatangani pada 12 April di Beijing, China.

MRL mengambil perhatian hakikat bahawa sebagai dokumen undang-undang, perjanjian asal EPCC tidak boleh diketepikan.

“Ini sendiri menidakkan keperluan satu kajian kebolehlaksanaan baharu, setelah kami berusaha atas dasar tersebut untuk mengelak daripada membayar fi penamatan dalam jumlah besar sebanyak RM21.78 bilion,” menurutnya.

Namun, MRL juga berkata pihaknya amat menyedari keperluan bagi membuat laporan EIA baharu memandangkan rangkaian kereta api ECRL sepanjang 640 kilometer kini melibatkan penjajaran baharu di bahagian selatan serta penjajaran semula di kawasan tertentu.

“Oleh itu, kami menjangkakan akan membuat laporan EIA baharu pada suku ketiga 2019 kerana keseluruhan penjajaran rel akan diperincikan pada masa itu,” katanya.

Menurut MRL, Terowong Genting sepanjang 17.8 kilometer pula tidak lagi menjadi sebahagian projek ECRL, sebaliknya terowong kembar sepanjang kira-kira 7.0 kilometer akan dibina merentasi di kawasan Jelebu-Semenyih, yang akan mengurangkan kehilangan hutan dan meminimumkan kesan terhadap hidupan liar.

“Terowong dengan reka bentuk penjajaran untuk mengelakkan kawasan tadahan air merupakan antara langkah yang diambil untuk perlindungan alam sekitar mengikut penjajaran selatan,” menurut MRL.

MRL berkata sebagai pemilik projek dan aset ECRL, ia juga ingin menyatakan bahawa Wakil Khas Perdana Menteri yang mengetuai rundingan ECRL, Tun Daim Zainuddin, tidak memegang tanggungjawab tunggal dalam melaksanakan rundingan itu dengan CCCC atau kerajaan China.

“Walaupun Daim adalah ketua perunding bagi pasukan petugas ECRL, anggota lain yang terlibat dalam proses rundingan itu juga terdiri antara lain, pegawai kanan Jabatan Peguam Negara, Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan dan MRL,” katanya.

Di samping itu, komuniti tempatan dan antarabangsa juga amat menyedari bahawa pasukan petugas ECRL berjaya mengendalikan proses perundingan, dengan hasilnya disiarkan dalam banyak laporan di akhbar, portal berita dan stesen televisyen di Malaysia dan luar negara.

Mengenai kajian McKinsey yang dipetik oleh Daim, yang mencadangkan supaya pembinaan ECRL mengambil masa selama 18 tahun, MRL berkata, Malaysia terikat dengan dokumen undang-undang sah antara dua kerajaan dan ia tidak boleh diketepikan semata-mata hanya kerana satu pihak tidak berpuas hati dengan perjanjian tersebut. - BERNAMA
Powered by Blogger.