Malaysia dapat kembali wang US$322 juta daripada aset 1MDB - Peguam Negara


Malaysia mendapat semula US$322 juta (kira-kira RM1.3 bilion) daripada nilai aset 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hasil penyiasatan yang berkesan terhadap 1MDB selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018.

Peguam Negara Tommy Thomas dalam satu kenyataan berkata dana berasingan sejumlah S$50 juta yang dikesan berkaitan 1MDB telah diperintahkan oleh Mahkamah Singapura supaya dipulangkan. 

"Sejumlah S$15 juta dikreditkan ke dalam akaun pemulihan aset 1MDB antara September tahun lepas hingga Mac tahun ini. Baki S$35 juta akan dikreditkan tidak lama lagi.

"Kerajaan Malaysia dengan sukacitanya mengumumkan bahawa Amerika Syarikat (AS) akan memulangkan wang yang besar jumlahnya kepada Malaysia, yang mewakili ansuran pertama dana yang diperoleh daripada rampasan aset yang berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di bawah Inisiatif Pemulihan Aset Kleptokrasi Jabatan Keadilan AS (DOJ), "katanya.

Thomas berkata perlu diingatkan bahawa DOJ baru-baru ini mengumumkan bahawa daripada US$4.5 bilion yang dialihkan dengan salah dari 1MDB, nilai aset yang DOJ telah berusaha untuk melucutkan hak melalui begitu banyak aduan pelucutan sivil yang difailkan dari 2016 hingga 2019 dianggarkan kira-kira US$1 .7 bilion.

"Aset-aset ini termasuk kapal mewah, Equanimity yang dijual secara rasmi oleh Mahkamah Admiralti Malaysia bulan lepas untuk US$126 juta.

Tranche pertama pengembalian dana sebanyak US$57,036,688.68 dikreditkan ke dalam akaun pemulihan aset 1MDB, akaun amanah terasing yang dibuka khusus untuk tujuan ini.

Jumlah ini dirampas daripada Red Granite Pictures, sebuah syarikat pengeluaran filem berasaskan AS yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan anak tirinya Riza Aziz yang timbul daripada penyelesaian US$60 juta di hadapan Mahkamah California, "katanya.

Thomas berkata potongan sebanyak US$3 juta telah dibuat untuk membayar balik kos yang dikenakan oleh DOJ dan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dalam menyiasat, merampas, membuat dakwaan dan mendapatkan penyelesaian untuk dana Red Granite.

Beliau berkata potongan itu termasuk kos yang dilakukan oleh DOJ dan FBI dalam menyiasat, merampas dan senggaraan Equanimity ketika ditahan di perairan Indonesia sebelum tiba di perairan negara ini.

Thomas berkata DOJ sedang dalam proses menyerahkan semula sejumlah US$139 juta yang merupakan hasil penjualan kepentingan Jho Low di Hotel Park Lane, di Manhattan.

Beliau berkata semua kos yang ditanggung oleh DOJ dan FBI dalam menyiasat, merampas, membuat pendakwaan dan mendapatkan penyelesaian bagi aset Park Lane akan ditolak daripada jumlah penyelesaian ini dan baki dijangka dikreditkan ke akaun pemulihan aset 1MDB tidak lama lagi.

Thomas berkata pemulihan itu tidak akan tercapai tanpa bantuan dan kerjasama yang sangat baik antara pihak berkuasa Malaysia dengan rakan-rakan di Amerika Syarikat dan Singapura.

"Kami mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada mereka. Usaha pemulihan aset 1MDB di seluruh dunia masih berterusan, dan Malaysia optimistik untuk memperolehi lebih banyak wang dalam beberapa bulan akan datang, "katanya. -- BERNAMA




Powered by Blogger.