Kerajaan sasar 500 i-KeeP menjelang tahun depan


Sebanyak 500 premis Inisiatif Kedai Ekonomi Pengguna (i-KeeP) disasar dapat diwujudkan menjelang tahun depan bagi membantu rakyat menangani masalah kos sara hidup, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen berkata sehingga April tahun ini, sejumlah 332 premis i-KeeP telah diwujudkan dengan penyertaan 10 syarikat peruncitan sebagai rakan strategik yang menawarkan harga barangan 20 peratus lebih murah daripada harga pasaran.

“Pelaksanaan i-KeeP digerakkan melalui kerjasama strategik kerajaan dengan syarikat peruncitan yang berkaliber dan berkeupayaan tanpa melibatkan bantuan peruntukan kerajaan. Tumpuan jualan adalah barangan keperluan asas seperti gula, minyak masak , tepung gandum dan beras.

“Selain itu i-KeeP turut menjual barangan keperluan berjenama dengan mengekalkan pembungkusan barangan tersebut pada harga berpatutan dan munasabah,” katanya ketika menggulung perbahasan Titah Diraja pada persidangan Dewan Negara bagi kementeriannya.

Chong dalam pada itu berkata kerajaan bersifat terbuka dan menggalakkan syarikat peruncitan menyertai i-KeeP. -- BERNAMA
Powered by Blogger.